
JOHOR BAHRU – Rakyat Johor didakwa sudah membuat keputusan muktamad dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini dan tidak lagi terkesan dengan segala provokasi serta dakyah yang dibawa oleh pihak lawan.
Ketua Penerangan UMNO Cawangan Presint Jasa, Dr. Azam Rauzan berkata, kestabilan dan keselesaan yang dibawa oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini menjadi asas utama keyakinan rakyat untuk terus memilih parti itu.
”Rakyat Johor tak terkejut dengan PRN dan mereka dah ‘decide’. Yang lain datang cerita hantu, cerita nyamuk, cerita lalat, cerita kambing… ia tidak akan memberi kesan kerana rakyat dah selesa dengan apa yang kerajaan Barisan Nasional buat,” katanya dalam program Temubual Sembang Kopi.
Menurut Dr. Azam, kemenangan BN kali ini bersandarkan kepada kesolidan sokongan orang Melayu dan penyokong UMNO. Beliau turut menyifatkan ‘roh rumah agam’ yang dibawa oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, berjaya mewujudkan keseimbangan politik yang baik, sekali gus memecahkan kubu saingan terutamanya gabungan PAS dan Bersatu.
Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan para calon BN agar tidak leka dan tidak membuang masa berkempen di kawasan Pusat Daerah Mengundi (PDM) yang sememangnya sudah menjadi kubu kuat parti. Sebaliknya, beliau menggesa para calon untuk turun ke padang dan mendekati rakyat secara terus bagi menyelesaikan masalah mereka.
Beliau turut menekankan kepentingan membentuk sebuah ‘kerajaan holistik’ yang mengambil berat tentang semua aspek kehidupan rakyat, termasuklah sahsiah dan kehadiran wakil rakyat bersama masyarakat setempat.
Mengulas mengenai sasaran kerusi, Dr. Azam menaruh keyakinan tinggi bahawa Barisan Nasional mampu kembali menerajui pentadbiran negeri Johor secara solo dengan menyasarkan kemenangan sekitar 38 hingga 43 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
#PRNJohor #BarisanNasional #SembangKopi #UMNOJohor #BeritaAAC
