
JOHOR BAHRU – Calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) N44 Larkin, Hairi Mohd Shah, meletakkan sasaran tinggi untuk menyelesaikan baki 20 peratus isu dan perancangan di kawasan berkenaan dalam tempoh lima tahun akan datang sekiranya diberikan mandat semula oleh rakyat.
Bercakap dalam sesi temubual ‘Sembang Kopi’ bersama Dr. Azam Rauzan, Hairi yang juga merupakan bekas Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Johor, menyatakan tahap kepuasan perkhidmatannya sepanjang empat tahun lalu berada pada kadar 80 peratus.
”Saya tidak mahu mendabik dada. Sepanjang empat tahun ini, saya telah turun padang dan melihat sendiri pelbagai masalah rakyat. Jika diberikan peluang lagi, saya akan pastikan baki perancangan tersebut dapat diselesaikan sepenuhnya (100 peratus) dalam tempoh lima tahun ini,” katanya.
Mengulas lanjut mengenai perancangan masa depan, Hairi menjelaskan terdapat banyak agenda pembangunan yang sedang dan bakal dilaksanakan, termasuk projek infrastruktur sukan di Stadium Larkin serta pembangunan komuniti di Kampung Melayu. Malah, kawasan Kampung Melayu juga telah disenaraikan di bawah Rancangan Khas (RKK) yang membolehkan penyusunan semula dan pengindahan kawasan dilakukan dengan lebih kemas demi keselesaan penduduk.
Dalam sesi yang sama, Hairi turut mengingatkan seramai 76,662 pengundi di DUN Larkin agar bijak memilih kestabilan bagi memastikan kelangsungan kemajuan ekonomi dan kebajikan masyarakat setempat. Beliau turut menyentuh kepentingan memilih pemimpin tempatan yang fokus, berbanding calon yang bertanding di beberapa kerusi berbeza sehingga dibimbangi menjejaskan kualiti khidmat kepada rakyat.
Sesi temubual tersebut diakhiri dengan seruan agar para pengundi di DUN Larkin menunaikan tanggungjawab mereka pada hari pengundian 11 Hari Bulan ini dengan memilih kestabilan masa depan Johor.
#PRNJohor #DunLarkin #KestabilanMasaDepan #SembangKopiAAC #HairiMohdShah
