
KUALA LUMPUR– Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan kali ini bakal menjadi penentu utama kepada hala tuju landskap politik negara, terutamanya dalam menilai keberkesanan kerjasama antara Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (NASIONAL).
Dalam satu temu bual eksklusif menerusi segmen Sembang Kopi, penganalisis politik, Dr. Azam Rauzan menyifatkan formula satu lawan satu yang digerakkan di Negeri Sembilan dan Melaka sebagai satu ‘ujian asid’ (acid test) yang amat kritikal bagi menguji penyatuan ummah yang sebenar.
Mengulas mengenai pembahagian kerusi yang menyaksikan BN mempertaruhkan 25 calon manakala baki 11 lagi diperuntukkan kepada Perikatan Nasional, beliau menzahirkan rasa syukur atas usaha murni yang dicetuskan oleh Pengerusi Barisan Nasional, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi demi menyatukan saf kepimpinan Melayu-Islam.
Bagaimanapun, Dr. Azam secara lantang menyelar tindakan segelintir pihak, khususnya Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang didakwanya didorong oleh sikap tamak dan nafsu politik yang tidak terkawal. Beliau mendakwa, sikap gelojoh Bersatu yang menuntut sehingga 15 kerusi serta keputusan mereka untuk bertanding menggunakan logo sendiri di Negeri Sembilan hanya akan merugikan parti itu sendiri.
”Dalam konteks perpaduan ummah, ia mestilah situasi menang-menang (win-win situation). Kita tidak boleh dapat semua perkara, dan kita juga tidak boleh kehilangan semua. Manusia boleh merancang, namun Allah yang menentukan. Sifat tamak Bersatu ini akhirnya akan memakan diri mereka sendiri,” ujar beliau.
Mengambil iktibar daripada keputusan PRN Johor yang menyaksikan Bersatu dan Perikatan Nasional gagal meraih sebarang kerusi signifikan akibat kewujudan ‘batu api’ politik, Dr. Azam menyeru para pengundi di Negeri Sembilan dan Melaka untuk bangkit memberikan isyarat yang jelas.
Tegas beliau, matlamat utama penyatuan ini adalah untuk meletakkan Pakatan Harapan (PH) serta Bersatu di blok pembangkang, sekali gus meminimumkan pengaruh mereka demi kestabilan negara.
”Terima kasih kepada rakyat Sabah dan Johor yang telah membuktikan sebelum ini bahawa mereka mampu (menolak politik tamak). Kini, giliran rakyat Negeri Sembilan dan Melaka pula untuk menunjukkan pendirian yang teguh,” katanya mengakhiri bicara.
#PRNNegeriSembilan #PerpaduanUmmah #SembangKopiAAC #PolitikMalaysia #BeritaHangat
