
SHAH ALAM , 19 Julai 2026 – Pilihan Raya Negeri (PRN) di Negeri Sembilan dijangka bakal memperlihatkan momentum politik yang berbeza berbanding pilihan raya terdahulu, hasil sokongan positif yang ditunjukkan oleh rakyat tempatan terhadap Barisan Nasional (BN).
Ketua UMNO Bahagian Subang, Dato’ Dr Armand Azha Abu Hanifah berkata, kehadiran dan respons orang ramai sejak beberapa hari lalu memberikan isyarat jelas bahawa ‘eksperimen politik’ di negeri berkenaan akan menjadi titik permulaan kepada satu gerakan politik yang signifikan.
”Jika kita lihat perkembangan mutakhir ini, Negeri Sembilan menunjukkan satu pendekatan yang cukup positif dengan kehadiran rakyat yang memberikan sokongan padu kepada Barisan Nasional.
”Saya yakin PRN di Negeri Sembilan ini akan membawa momentum berbeza kerana ‘eksperimen’ antara dua parti politik Melayu-Islam terbesar akan menggambarkan satu gerakan yang berlainan,” katanya ketika ditemui media.
Mengulas lanjut, Armand turut memetik kenyataan bekas Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin mengenai istilah ‘kepejalan dan keanjalan politik’ yang dijangka bermula dari Negeri Sembilan.
Apabila ditanya sama ada gelombang serta strategi yang sama bakal dibawa ke negeri lain seperti Selangor atau Melaka, beliau menegaskan keutamaan buat masa ini adalah melepasi cabaran di Negeri Sembilan terlebih dahulu.
”Pertama sekali, kita ‘don’t jump ship’ dahulu. Kita selesaikan Pilihan Raya Negeri Sembilan ini terlebih dahulu.
”Setelah mendapat mandat dan keputusan daripada rakyat Negeri Sembilan, barulah kita akan lihat apakah strategi seterusnya untuk negeri-negeri lain,” pangkas beliau.
#PRNNegeriSembilan #PolitikMalaysia #BarisanNasional #ArmandAzha #BeritaAAC
