KUALA LUMPUR, 26 Januari 2026 – Kes graduan politeknik Malaysia yang dilaporkan terkandas dan ditahan di Jepun terus menimbulkan kebimbangan apabila perkembangan terbaharu mendedahkan kemungkinan wujud puluhan kes serupa melibatkan rakyat Malaysia, dipercayai berkait dengan sindiket scam dan pemerdagangan manusia.
Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan MHO, Dato’ Hishamudin Hashim berkata, setakat ini tiada pengesahan rasmi daripada pihak berkuasa Jepun, namun maklumat daripada sebuah laman web tempatan di negara itu mengesahkan wujud tangkapan oleh polis Jepun dan kes berkenaan masih berada dalam fasa siasatan.
Menurut beliau, keluarga mangsa, Muhammad Faiq, turut mendapatkan bantuan rakan yang bekerja di Jepun bagi cuba menemuinya, namun dimaklumkan bahawa prosedur siasatan di negara itu jauh berbeza berbanding Malaysia.
“Di Jepun, proses reman atau siasatan boleh mengambil masa sehingga 120 hari. Tempohnya lama, itu memang tidak bagus, tetapi kelebihannya, kita ada ruang untuk menghantar peguam dan membuat representasi bagi membuktikan bahawa mangsa ini sebenarnya bukan pelaku jenayah, sebaliknya mangsa,” katanya.
Tambah beliau, pihak keluarga kini sedang merancang untuk bertemu dengan Kedutaan Malaysia di Jepun bagi mendapatkan cadangan peguam tempatan yang sesuai untuk mewakili Muhammad Faiq.
Dalam masa sama, Dato’ Hishamudin turut mendedahkan maklumat tidak rasmi yang diterima daripada kenalan keluarga mangsa, bahawa polis Jepun memaklumkan secara tidak formal wujud hampir 25 kes melibatkan rakyat Malaysia yang mempunyai corak sama, namun tidak diketahui umum.
“MHO ingin menegaskan bahawa maklumat ini belum disahkan secara rasmi, tetapi ia satu red flag besar yang tidak boleh dipandang ringan,” ujarnya.
Beliau menjelaskan, sejak 2021, MHO konsisten menangani kes pemerdagangan manusia dan sindiket scam dalam talian yang sebelum ini banyak tertumpu di Laos, Kemboja dan Myanmar, selain beberapa kes di Filipina dan Dubai.
“Namun, kami tidak menjangka Jepun akan menjadi destinasi baharu. Ini satu amaran serius khususnya kepada anak muda,” katanya.
Dato’ Hishamudin turut mengingatkan rakyat Malaysia, terutamanya golongan muda, supaya lebih berwaspada terhadap tawaran pekerjaan di luar negara, khususnya ke Jepun yang menggunakan pas sosial.
“Ramai rakyat Malaysia bekerja di Jepun menggunakan pas sosial kerana tempoh masuk 90 hari, itu memang biasa. Tetapi sekarang, tawaran sebegini perlu disemak dengan teliti. Jangan terima bulat-bulat,” tegasnya.
Beliau turut memberi amaran bahawa sindiket scam antarabangsa dipercayai sedang mengalihkan operasi mereka ke destinasi baharu seperti Taiwan dan Jepun, selepas tekanan di Kemboja, Laos dan Myanmar.
“Risikonya tinggi. Anda bukan sahaja boleh dieksploitasi, malah berisiko ditangkap oleh pihak berkuasa negara tersebut. Berhati-hatilah,” katanya.
#BeritaAAC #GraduanMalaysia #SkandalScam #HumanTrafficking #RakyatMalaysia #KerjaLuarNegara #Jepun #AmaranAnakMuda #KesTerkini #PendedahanMHO