
AMPANG, 29 Januari 2026 — Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Sri Jamal Md Yunos hari ini tampil memberikan penjelasan berhubung tindakan penguatkuasaan mahkamah yang berlaku di kediamannya semalam, susulan saman fitnah melibatkan Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok.

Menurut beliau, kehadirannya ke Ibu Pejabat Daerah (IPD) Ampang Jaya adalah bagi membuat dua laporan utama. Pertama, berkaitan tindakan undang-undang yang akan diperincikan oleh barisan peguamnya. Kedua, bagi menuntut siasatan semula oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap laporan salah guna peruntukan Yayasan Warisan Anak Selangor (YAWAS) yang pernah dibuatnya sebelum ini.
Datuk Sri Jamal mendakwa beliau sebelum ini telah menyerahkan semua dokumen berkaitan kepada pihak polis dan SPRM, yang membawa kepada siasatan serta serbuan ke atas pejabat Teresa Kok. Namun begitu, beliau tewas dalam saman fitnah kerana dokumen-dokumen tersebut diklasifikasikan sebagai dokumen rasmi kerajaan dan tidak dapat digunakan sebagai bahan pembelaan di mahkamah.

Ekoran kekalahan tersebut, Datuk Sri Jamal berkata beliau mematuhi sepenuhnya perintah mahkamah dengan membayar lebih RM300,000 seperti diarahkan. Namun, baki kos pengurusan mahkamah berjumlah RM66,000 yang merangkumi faedah menjadi punca tindakan sitaan dan kemasukan ke rumahnya secara paksa semalam.
Beliau mempersoalkan kewajaran tindakan memecahkan pagar dan pintu rumahnya sedangkan tuntutan hanya melibatkan jumlah wang tersebut. Malah, beliau mendakwa beberapa kenderaan di hadapan rumahnya mempunyai nilai melebihi jumlah tuntutan dan boleh disita tanpa perlu menceroboh kediaman.

Sementara itu, Peguam Datuk Sri Jamal, Nasser Yusof dari Fauzi & Nasser The Defenders memaklumkan bahawa 14 barangan yang disita semalam adalah milik anak guamnya dan bukannya milik Datuk Sri Jamal. Justeru, pihaknya akan memfailkan saman interpleader bagi menghalang penyitaan tersebut.
Rakan guamannya, Rejinder Singh turut mempersoalkan kehadiran anggota polis dalam pelaksanaan perintah yang bersifat tuntutan sivil, sambil mendakwa wujud salah guna kuasa dan pelanggaran prosedur dalam pelaksanaan writ penyitaan tersebut.
Pihak peguam mengesahkan satu lagi tindakan undang-undang akan difailkan di Mahkamah Tinggi bagi menyaman pihak-pihak yang terlibat atas dakwaan melampaui batas dan menyalahgunakan kuasa ketika menjalankan tugas.
Dalam masa yang sama, Datuk Sri Jamal menggesa Perdana Menteri dan SPRM untuk menunjukkan ketegasan dalam memerangi rasuah, sambil menegaskan keyakinannya bahawa dokumen-dokumen berkaitan dakwaan salah guna peruntukan YAWAS masih wujud dalam simpanan pihak berkuasa.
#BeritaAAC #JamalYunos #TeresaKok #WritMahkamah #SalahGunaKuasa #SPRM #IsuSemasa #PolitikMalaysia #KeadilanUntukRakyat #PendedahanEksklusif