KUALA LUMPUR – Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) mengesahkan akan melancarkan satu misi khas ke Jepun bagi membantu kes melibatkan seorang rakyat Malaysia, Adik Faiq, yang berasal dari Manir, Terengganu.
Setiausaha Agung MHO, Dato’ Hishamudin Hashim berkata, pihaknya telah dihubungi oleh seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di kawasan Manir yang menyatakan hasrat untuk membantu mangsa serta mencadangkan kerjasama bersama MHO bagi menyelami latar belakang sebenar kes tersebut.
“YB di kawasan Manir telah menghubungi kami dan menyatakan hasrat untuk membantu mangsa. Dalam misi kali ini, beliau mengajak pihak MHO untuk bekerjasama turun ke Toyama, iaitu kira-kira lapan jam perjalanan dari Tokyo, bagi bertemu sendiri dengan Adik Faiq,” katanya.
Menurut beliau, pertemuan itu penting bagi mendapatkan gambaran jelas berkaitan fakta kes serta latar belakang sebenar insiden yang berlaku, sebelum sebarang langkah penyelesaian diambil.
“Kita mahu mengetahui apakah sebenarnya latar belakang kes ini, apakah fakta yang sebenar, supaya kita boleh mencari satu solusi yang terbaik mengikut undang-undang yang ada di negara Jepun, dengan penuh rasa hormat terhadap kedaulatan undang-undang di sana,” jelasnya.
Dato’ Hishamudin turut memaklumkan bahawa misi tersebut dijangka berlangsung dalam minggu terdekat, dengan pasukan MHO akan berlepas ke Tokyo sebelum meneruskan perjalanan ke Toyama.
“Insya-Allah, dalam minggu hadapan kita akan ke Tokyo. Kita juga berhasrat untuk bertemu wakil peguam di Jepun bagi mendapatkan pandangan undang-undang serta mencari jalan terbaik untuk membantu Adik Faiq,” katanya lagi.
Tegas beliau, sebarang usaha yang dilakukan oleh MHO adalah berlandaskan pendekatan undang-undang dan mematuhi sepenuhnya peraturan yang dikuatkuasakan di Jepun.
“Kita mahu membantu, tetapi dengan caranya yang betul, mematuhi undang-undang dan menghormati sistem perundangan negara Jepun,” ujarnya.
#AdikFaiq #MHOMalaysia #MisiKemanusiaan #RakyatMalaysiaDiLuarNegara #KeadilanUntukFaiq #UndangUndangJepun #ManirTerengganu #IsuAntarabangsa #AACNews #SuaraRakyat