
KUALA LUMPUR, 14 Mac 2026 – Seorang aktivis masyarakat, Ariffin Abu Bakar, tampil membuat laporan polis berhubung kenyataan yang didakwa dibuat oleh bekas Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli, berkaitan dakwaan terhadap Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.
Ariffin yang juga Pengerusi Eratkan Perhubungan Antara Negeri Cetuskan Organisasi (EPANCO) berkata laporan polis itu dibuat selepas beliau menonton satu kandungan yang tular di platform TikTok yang mengaitkan Rafizi dengan spekulasi mengenai Azam Baki.
Menurut beliau, tindakan tersebut diambil sebagai tanggungjawab seorang rakyat yang tidak mahu wujudnya kekeliruan dalam kalangan masyarakat terhadap institusi kerajaan.
“Tujuan saya membuat laporan ini adalah sebagai rakyat yang prihatin supaya YB Rafizi tidak lagi menimbulkan naratif atau spekulasi berkaitan agensi kerajaan yang boleh menjejaskan keyakinan rakyat,” katanya kepada media selepas membuat laporan polis.
Beliau berkata, penyebaran maklumat yang tidak disahkan melalui media sosial boleh menimbulkan persepsi negatif terhadap institusi negara serta mengganggu kepercayaan rakyat terhadap agensi kerajaan.
Menurut Ariffin, sekiranya dakwaan yang dibangkitkan itu benar, Rafizi sepatutnya tampil membuat laporan polis secara rasmi supaya perkara tersebut dapat disiasat melalui saluran undang-undang.
“Kalau benar apa yang didakwa, ayuh tampil ke hadapan, buat laporan polis dan gunakan saluran undang-undang. Jangan hanya lontarkan teori atau spekulasi yang boleh mengelirukan rakyat,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa laporan polis yang dibuat bukan bertujuan memihak kepada mana-mana individu, sebaliknya untuk memastikan isu tersebut disiasat secara telus oleh pihak berkuasa.
Mengulas soalan wartawan mengenai dakwaan Rafizi yang dikatakan memetik laporan media antarabangsa seperti Bloomberg dan The Straits Times, Ariffin berkata beliau tetap melihat Rafizi sebagai individu yang mencetuskan isu tersebut kepada umum.
“Bagi saya, punca perkara ini timbul adalah daripada Rafizi sendiri. Sebab itu laporan ini ditujukan kepada beliau supaya tampil menjelaskan perkara tersebut secara rasmi,” katanya.
Dalam pada itu, Ariffin turut berpandangan bahawa Azam Baki mempunyai hak untuk mengambil tindakan undang-undang sekiranya merasakan reputasinya terjejas akibat dakwaan tersebut.
“Kalau saya sendiri dituduh sedemikian, sudah tentu saya akan mempertahankan diri dan mengambil tindakan undang-undang. Itu hak sesiapa sahaja untuk menjaga imej dan maruah mereka,” katanya.
Bagaimanapun beliau menegaskan bahawa matlamat utama laporan polis itu dibuat adalah bagi mengelakkan kekeliruan dalam kalangan rakyat, khususnya ketika negara sedang berdepan cabaran ekonomi dan memerlukan kestabilan politik.
“Sudah cukup-cukuplah rakyat dikelirukan dengan pelbagai teori dan spekulasi. Negara kita perlu fokus kepada kestabilan politik dan ekonomi,” katanya.
#BeritaAAC #IsuAzamBaki #RafiziRamli #LaporanPolis #PolitikMalaysia