
KUALA LUMPUR, 30 Mac 2026 – Persatuan Kebajikan Industri e-Hailing Malaysia (PKEH) menegaskan pendirian tidak bersetuju dengan pelaksanaan Akta Pekerja Gig 2025 (Akta 872) dan menggesa kerajaan supaya menangguhkan penguatkuasaannya yang dijadual bermula esok.
Mewakili Sekretariat PKEH, Dato’ Rahmat Mahmud berkata, pihaknya melihat terdapat pelbagai kemusykilan besar dalam akta berkenaan, khususnya melibatkan penubuhan Majlis Perunding Gig yang disifatkan hanya berfungsi sebagai badan nasihat tanpa kuasa membuat keputusan yang mengikat.
Menurut beliau, keadaan itu sekali gus menghadkan keberkesanan majlis tersebut dalam memberi pandangan terhadap dasar melibatkan pekerja gig, selain menimbulkan persoalan sama ada ia benar-benar mampu membawa perubahan kepada ekosistem industri berkenaan.
Rahmat berkata, antara perkara yang paling membimbangkan ialah struktur pelantikan ahli majlis yang didakwa tidak telus kerana menteri mempunyai kuasa untuk melantik ahli tanpa mekanisme pemilihan terbuka.
“Kalau pelantikan dibuat tanpa kriteria kelayakan dan kepakaran yang jelas, bagaimana mereka mahu memperbaiki ekosistem industri gig? Kita sendiri tidak tahu sama ada individu yang dilantik benar-benar arif dan berpengalaman dalam sektor ini atau tidak,” katanya dalam sidang media hari ini.
Beliau turut mempersoalkan sama ada jawatankuasa yang bakal dibentuk itu benar-benar mewakili suara pekerja gig daripada pelbagai subsektor, memandangkan perkara tersebut didakwa tidak pernah dibincangkan secara menyeluruh dalam proses pembentukan dasar.
Menurutnya lagi, walaupun terdapat dakwaan bahawa sesi libat urus telah dijalankan melibatkan ribuan peserta, persoalan utama ialah sama ada maklum balas yang diperoleh benar-benar bersifat dua hala atau sekadar formaliti semata-mata.
Rahmat mendakwa, tanpa mekanisme pemilihan demokratik dan wakil sebenar daripada komuniti pekerja gig, majlis itu berisiko menjadi platform simbolik yang tidak memberi impak sebenar kepada kebajikan penggiat industri.
Beliau juga melahirkan kebimbangan bahawa penubuhan majlis berkenaan hanya akan menambah lapisan birokrasi, sedangkan industri gig melibatkan banyak kementerian dan pelbagai sektor lain, bukan sekadar e-hailing dan p-hailing semata-mata.
“Kalau ia sekadar badan nasihat tanpa kuasa pelaksanaan yang jelas, akhirnya ia jadi seperti platform ‘puppet’ sahaja. Boleh arah sana sini, tapi tiada kuasa sebenar untuk bertindak,” katanya.
Dalam masa sama, beliau mendakwa proses libat urus bagi Akta 872 dilihat tidak menyeluruh serta tidak mencerminkan pandangan sebenar semua pemegang taruh dalam industri itu, sekali gus menimbulkan persepsi bahawa dasar tersebut dirangka secara tergesa-gesa.
Rahmat turut membangkitkan persoalan integriti proses libat urus apabila mendakwa terdapat penglibatan entiti yang hanya mendapat pengesahan pendaftaran pada 2 Mac 2026, namun dikatakan sudah terlibat dalam perbincangan sebelum status perundangannya benar-benar jelas.
Katanya, perkara itu wajar dijelaskan secara terbuka, lebih-lebih lagi apabila dasar berkenaan melibatkan kira-kira 1.2 juta penggiat ekonomi gig di negara ini.
“Ia bukan lagi isu teknikal semata-mata, tetapi melibatkan aspek integriti proses, ketelusan pentadbiran dan keutamaan sebenar dalam memperjuangkan nasib pekerja gig,” katanya.
Sehubungan itu, PKEH menggesa kerajaan melaksanakan moratorium serta-merta terhadap Akta 872 dan tidak meneruskan penguatkuasaannya sehingga proses semakan semula dilakukan secara lebih telus, inklusif dan menyeluruh.
Rahmat berkata, langkah penangguhan itu juga penting mengambil kira cadangan penubuhan Suruhanjaya Ekonomi Gig Malaysia (SEGIM) yang baru diluluskan kabinet, yang menurutnya berpotensi mengambil alih atau mengatasi peranan Akta 872 pada masa akan datang.
Beliau berharap kementerian berkaitan tidak tergesa-gesa melaksanakan akta tersebut sebelum SEGIM benar-benar diwujudkan dan segala persoalan utama berhubung wakil industri, kuasa pelaksanaan serta ketelusan proses libat urus dijawab sepenuhnya.
#Akta872 #PekerjaGig #MoratoriumAkta872 #IndustriGigMalaysia #BeritaAAC