Jenayah

KUALA LUMPUR, 26 Jan 2026 – Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) menggesa pihak berkuasa supaya bertindak lebih telus dan tegas dalam menangani isu Skim Pulangan Sewa Terjamin atau Guaranteed Rental Return (GRR) yang didakwa telah memperdaya puluhan pelabur hartanah di negara ini.

Menurut MHO, pihaknya menerima aduan daripada mangsa-mangsa yang mendakwa mereka telah dimanipulasi oleh sebuah syarikat yang menawarkan skim pelaburan GRR, sehingga mendorong pembelian unit hartanah dalam satu projek tertentu. Secara keseluruhan, sebanyak 69 unit kediaman terlibat dengan jumlah nilai pembelian mencecah RM47.23 juta.

Setiausaha Agung MHO, Dato’ Hishamuddin bin Hashim, berkata skim pelaburan GRR yang mula diperkenalkan sekitar tahun 2000 sering dipromosikan sebagai pelaburan selamat dengan pulangan tinggi, namun hakikatnya mengandungi ciri-ciri yang wajar disiasat secara mendalam oleh pihak penguatkuasaan.

“Antara elemen yang ditawarkan termasuk jaminan pulangan sewa antara 8 hingga 12 peratus setahun, janji pembelian semula unit oleh syarikat, serta pengurusan sepenuhnya oleh pihak syarikat tanpa penglibatan pelabur,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah beliau, sehingga kini para pengadu masih belum menerima sebarang maklum balas rasmi mengenai status siasatan walaupun tempoh yang dilalui dianggap munasabah untuk sekurang-kurangnya diberikan penjelasan awal.

MHO berpandangan isu ini bukan sekadar pertikaian komersial biasa, sebaliknya berpotensi melibatkan ciri-ciri skim pelaburan berkepentingan seperti yang diperuntukkan di bawah undang-undang sedia ada, khususnya apabila melibatkan jaminan pulangan, pengurusan berpusat dan peranan pelabur yang pasif.

Bagaimanapun, MHO menegaskan sidang media yang diadakan tidak bertujuan untuk membuat kesimpulan awal atau menuding jari kepada mana-mana pihak, sebaliknya menuntut ketelusan, kebertanggungjawaban serta komunikasi jelas daripada agensi berkaitan demi mengekalkan keyakinan awam terhadap sistem kawal selia negara.

Sehubungan itu, MHO menggesa pihak berkuasa agar segera memaklumkan status siasatan serta mengambil tindakan sewajarnya sekiranya terdapat sebarang pelanggaran undang-undang.

Para mangsa, menurut MHO, bersedia memberikan kerjasama penuh termasuk mengemukakan dokumen tambahan bagi memastikan siasatan dijalankan secara menyeluruh.

Dalam perkembangan berkaitan, satu memorandum telah diserahkan oleh wakil MHO merangkap Setiausaha Kerja MHO, Encik Izzat Izzuddin Idris, kepada wakil Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Puan Fatihah dari Unit Aduan SSM, bagi menuntut penelitian serius terhadap aduan yang dikemukakan.

MHO menegaskan komitmennya untuk terus menjadi suara kepada mangsa serta memperjuangkan keadilan, ketelusan dan perlindungan kepentingan awam selaras dengan lunas undang-undang negara.

#BeritaAAC #SkimGRR #PulanganSewaTerjamin #PelaburanHartanah #MangsaPelaburan #MHO #Ketelusan #KeadilanUntukMangsa #Penguatkuasaan #IsuRakyat

KUALA LUMPUR, 7 Januari 2026 – Satu dakwaan serius membabitkan kemungkinan wujudnya sindiket eksploitasi laporan punca kematian telah didedahkan oleh aktivis sosial, Dato’ Dr. Kalaivanar, susulan kematian seorang lelaki India, Thamil Selvan a/l Muniandi, 45, ketika menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada 2 Januari 2019.

Menurut Dato’ Dr. Kalaivanar yang juga Sekretariat Bahana Kesetiaan Negara, keluarga mendiang sehingga hari ini masih tidak menerima laporan rasmi punca kematian, malah sijil kematian mendiang dilaporkan tertera status “pending investigation”.

Namun apa yang lebih mengejutkan, beliau mendakwa Public Bank telah berjaya menuntut tuntutan MRTA berjumlah kira-kira RM424,000 seawal Ogos 2021, walhal pihak hospital secara rasmi menafikan pernah mengeluarkan sebarang laporan perubatan atau punca kematian kepada mana-mana pihak termasuk bank atau syarikat insurans.

“HKL sendiri melalui surat rasmi bertarikh 29 Ogos 2022, yang ditandatangani Timbalan Pengarah Pembedahan HKL, Dr. Fairuz Azlim bin Muslim, menyatakan tiada sebarang permohonan atau pelepasan dokumen perubatan diberikan kepada pihak ketiga,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Beliau mempersoalkan bagaimana tuntutan MRTA boleh diluluskan oleh pihak insurans AIA sedangkan dokumen asas seperti laporan post-mortem, laporan perubatan terperinci dan pengesahan doktor yang merawat masih belum diberikan kepada waris sehingga kini.

Lebih memburukkan keadaan, walaupun tuntutan MRTA didakwa telah dibayar, rumah milik mendiang tetap dilelong pada tahun 2025, menyebabkan keluarga mangsa terus terkesan dan teraniaya.

“Kita percaya ada elemen konspirasi serius melibatkan institusi kewangan dan pihak insurans. Jika hospital tidak keluarkan laporan, siapakah yang mengeluarkan dokumen untuk meluluskan bayaran RM424,000 itu?” soal beliau.

Susulan pendedahan ini, pihaknya telah membuat laporan polis, merancang membawa kes ke Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), serta akan mengadakan demonstrasi di Bukit Aman dan hadapan Public Bank, selain menggesa Menteri Kesihatan mengambil tindakan tegas.

Dato’ Dr. Kalaivanar turut menyeru orang ramai agar berkongsi pendedahan ini sebagai peringatan bahawa mana-mana rakyat berpotensi menjadi mangsa sekiranya kebenaran terus disembunyikan.

#SkandalMRTA #KonspirasiKewangan #KeadilanUntukThamilSelvan #SiapaDalang #HKL #PublicBank #AIA #PendedahanRakyat #BeritaAAC #SekretariatBahanaKesetiaanNegara