KUALA LUMPUR — Ketua UMNO Bahagian Kepong, Tpr Abdul Razak Abdul Rahman menegaskan bahawa akar umbi UMNO perlu melihat isu membabitkan Presiden parti, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, secara lebih realistik dan tidak terpengaruh dengan sentimen yang dimainkan pihak tertentu.
Menurut beliau, hakikat yang perlu diterima ialah Datuk Seri Zahid merupakan antara individu terawal yang tampil mempertahankan Datuk Seri Najib Razak, khususnya berkaitan isu addendum yang menjadi perhatian umum.
“Apabila isu addendum timbul, Datuk Seri Zahid adalah antara orang pertama yang memfailkan afidavit bagi mengesahkan kewujudan dokumen tersebut. Itu bukan perkara kecil. Sebagai Timbalan Perdana Menteri, beliau mempertaruhkan kedudukan dan jawatannya sendiri untuk mempertahankan kebenaran,” katanya.
Tambah beliau, tindakan itu membuktikan bahawa Zahid sanggup mengambil risiko politik yang besar demi memastikan keadilan ditegakkan, walaupun terpaksa berdepan tekanan daripada pelbagai pihak.
Menurutnya lagi, ahli UMNO perlu memahami realiti politik semasa, di mana parti itu tidak lagi berada di tampuk kuasa mutlak, dan segala keputusan kerajaan bukan berada sepenuhnya dalam kawalan UMNO.
“Dalam situasi ini, sesiapa sahaja yang memegang jawatan Presiden UMNO pasti akan menjadi sasaran serangan, fitnah dan tohmahan. Itu adalah realiti politik. Kita tidak boleh terpengaruh dengan naratif pihak lawan yang sengaja mahu memecah-belahkan parti,” katanya.
Beliau turut mengingatkan ahli parti supaya tidak terperangkap dengan sentimen yang melaga-lagakan kepimpinan, khususnya antara Datuk Seri Najib dan Datuk Seri Zahid.
“Sejarah membuktikan, Datuk Seri Zahid memainkan peranan penting memastikan UMNO terus wujud. Bahkan, ketika era pemerintahan Tun Dr Mahathir selama 22 bulan, wujud tekanan agar UMNO dibubarkan, namun beliau memilih untuk mempertahankan parti walaupun berdepan risiko peribadi,” jelasnya.
Tegas beliau, Datuk Seri Zahid tidak pernah berhenti berusaha mencari jalan dan ruang perundangan bagi memastikan keadilan dapat ditegakkan terhadap Datuk Seri Najib.
“Setiap peluang dan saluran yang ada telah digunakan. Kita yakin beliau sedang berusaha melalui strategi dan saluran yang sah untuk memastikan keadilan dapat dicapai,” katanya lagi.
#UMNO #ZahidHamidi #NajibRazak #SolidaritiUMNO #KeadilanUntukNajib #PolitikMalaysia #IsuSemasa #AkarUmbiUMNO #BeritaPolitik #AACMedia