KUALA LUMPUR, 3 Januari 2026 — Isu mengembalikan sokongan orang Melayu terhadap UMNO perlu menjadi keutamaan utama parti, berbanding terperangkap dengan retorik penyatuan politik yang belum tentu menjamin kemenangan pilihan raya, tegas Dato’ Noor Azizan Abdul Majid
Menurut beliau, dapatan kajian yang dibentangkan jelas menunjukkan wujud keresahan dan penolakan dalam kalangan orang Melayu terhadap kerajaan perpaduan ketika ini, sekali gus menuntut pendekatan lebih realistik dan berasaskan data oleh kepimpinan UMNO.
“Persoalan paling penting sekarang bukan sekadar soal tarik atau tidak tarik sokongan daripada kerajaan. Yang lebih besar ialah bagaimana UMNO boleh mengukuhkan kembali sokongan orang Melayu. Itu jauh lebih kritikal,” katanya.
Beliau menambah, sekiranya UMNO berada dalam posisi pembangkang sekalipun, parti masih boleh memainkan peranan penting dengan mengkritik dasar dan polisi kerajaan yang menekan rakyat. Namun, katanya, politik akhirnya berkisar soal kuasa dan jumlah kerusi yang mampu dimenangi.
Mengulas isu kerjasama dengan PAS, Dato’ Noor Azizan mengingatkan agar UMNO tidak terperangkap dengan retorik penyatuan Melayu tanpa kerangka jelas dan keikhlasan bersama.
“Bercakap soal penyatuan Melayu ini bukan mudah. Pengalaman dalam Muafakat Nasional menunjukkan banyak helah dan permainan politik. Kita mesti lebih berhati-hati dan ada ‘framework’ yang jelas, terutamanya jika melibatkan pilihan raya,” katanya.
Beliau turut mempersoalkan sikap PAS yang enggan menjalinkan tahaluf siyasi secara menyeluruh dengan UMNO, sebaliknya hanya mahu kerjasama dalam bentuk ta’awun, sekali gus menimbulkan tanda tanya terhadap keikhlasan sebenar kerjasama tersebut.
Dalam pada itu, Dato’ Noor Azizan menegaskan bahawa kajian menunjukkan kerjasama dengan PAS memang berpotensi memberikan kelebihan dari segi jumlah kerusi, namun aspek tadbir urus dan hala tuju kerjasama perlu diperhalusi dengan teliti.
Menyentuh soal dasar kerajaan, beliau menegaskan rakyat semakin tidak selesa dengan beberapa polisi yang dianggap menekan, termasuk isu simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang dilihat mencampuri hak rakyat terhadap wang simpanan sendiri.
“Ini duit rakyat. Sepatutnya rakyat yang tentukan bagaimana ia digunakan. Dasar sebegini menyakitkan hati rakyat,” katanya.
Beliau turut merujuk keputusan pilihan raya negeri Sabah sebagai bukti jelas bahawa rakyat semakin tidak selesa dengan kerajaan sedia ada, meskipun pelbagai naratif positif cuba dimainkan.
Mengakhiri kenyataannya, Dato’ Noor Azizan memberi peringatan keras kepada menteri dan Ahli Parlimen agar tidak memberi isyarat seolah-olah mereka sudah bosan memegang kuasa.
“Kalau benar-benar mahu sokongan rakyat, buatlah dasar yang baik untuk rakyat. Jangan bercakap besar, tapi akhirnya kerusi hilang satu demi satu,” tegasnya.
#PolitikMelayu #UMNO #SuaraAkarUmbi #KerajaanPerpaduan #MuafakatNasional #PAS #KWSPRakyat #RealitiPolitik #AACMedia #BeritaAAC