KUALA LUMPUR — Penceramah bebas, Prof Dr Riduan Tee, menyifatkan ucapan yang disampaikan dalam Konvensyen Pemuda UMNO sebagai antara ucapan terbaik yang pernah beliau dengar, khususnya dalam konteks penyatuan umat Islam dan masa depan Melayu Islam di Malaysia.
Menurut beliau, sudah tiba masanya umat Islam dan orang Melayu melupakan perpecahan lama dan memberi tumpuan sepenuhnya kepada usaha membina masa depan yang lebih kukuh dan bersatu, jika tidak mahu menanggung kesan buruk pada masa akan datang.
“Sudah sampai masanya kita lupakan yang lalu dan bina masa depan. Kalau tidak, kita sendiri akan menanggung akibatnya,” katanya.
Prof Riduan Tee menegaskan bahawa misi Islam adalah menyatukan pelbagai bangsa, bukan sekadar satu kelompok atau kaum tertentu. Beliau membandingkan pendekatan tersebut dengan realiti semasa yang menurutnya masih terperangkap dengan ego perkauman yang tinggi, khususnya dalam kalangan orang Melayu sendiri.
Beliau turut mengulas bahawa penyatuan satu bangsa sebenarnya adalah perkara yang mudah, namun menjadi sukar apabila ego dan kepentingan sempit menguasai pemikiran.
“Kalau satu bangsa pun orang Melayu tak boleh bersatu, tunggulah kehancuran,” tegasnya.
Dalam nada yang lebih menyentuh, Prof Riduan Tee berkata kehadirannya dalam Konvensyen Pemuda UMNO bukanlah atas dasar bangsa, sebaliknya atas tanggungjawab Islam, walaupun beliau berketurunan Cina.
“Saya orang Cina, tetapi atas dasar Islam, saya ada tanggungjawab besar. Misi Islam bukan menyatukan satu bangsa, tetapi berbangsa-bangsa,” katanya.
Mengulas isu kerjasama politik, beliau menekankan bahawa semangat Muafakat Nasional perlu terus dihidupkan walaupun tidak lagi berfungsi sebagai entiti parti.
Menurutnya, penyatuan dua parti Melayu Islam terbesar — UMNO dan PAS adalah kunci kepada masa depan yang lebih cerah untuk Melayu Islam.
“Jika kita mulakan dengan dua parti terbesar Melayu Islam ini, saya yakin dengan izin Allah, masa depan kita akan jauh lebih cerah dan Melayu Islam tidak lagi dipijak dan diinjak,” katanya.
#MuafakatNasional #PenyatuanMelayuIslam #RiduanTee #KonvensyenPemudaUMNO #IslamMenyatukan #EgoMelayu #UMNOPAS #PolitikIslam #AACBerita #BangkitBersatu