format: 0; filter: 0; fileterIntensity: 0.0; filterMask: 0; captureOrientation: 0; runfunc: 0; algolist: 0; multi-frame: 1; brp_mask:0; brp_del_th:0.0000,0.0000; brp_del_sen:0.0000,0.0000; motionR: 1; delta:1; bokeh:1; module: photo;hw-remosaic: false;touch: (-1.0, -1.0);sceneMode: 13107200;cct_value: 0;AI_Scene: (0, 0);aec_lux: 250.0;aec_lux_index: 0;albedo: ;confidence: ;motionLevel: 0;weatherinfo: weather?null, icon:null, weatherInfo:100;temperature: 33;
KUALA LUMPUR, 9 Januari 2026 – Isu lawatan dan ziarah ke makam Mustafa Kamal Atatürk yang kembali diperdebatkan di media sosial tidak wajar dipolemikkan sehingga dikaitkan secara melampau dengan hukum agama, tegas Ketua Penerangan Veteran UMNO, Dato’ Zainal Abidin Sakom.
Menurut beliau, istilah ziarah tidak boleh ditafsir secara sempit sehingga menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat, khususnya apabila melibatkan lawatan rasmi ke negara luar atas dasar diplomatik.
“Bila kita sebut ziarah, ia bukan semestinya berkait dengan amalan ibadah. Orang Islam sendiri pernah menziarahi makam pahlawan-pahlawan negara lain yang bukan Islam, sebagai satu bentuk penghormatan,” katanya ketika mengulas soalan wartawan berhubung kontroversi lawatan pemimpin negara ke makam Mustafa Kamal Atatürk.
Beliau menjelaskan bahawa dalam konteks lawatan rasmi, ziarah ke makam tokoh negara berkenaan adalah satu amalan diplomatik yang lazim dan tidak boleh disamakan dengan amalan keagamaan seperti membaca doa atau surah al-Fatihah.
“Kalau ziarah pun, kita tidak membaca al-Fatihah. Pandailah kita membawa diri. Itu bukan ibadah, tetapi penghormatan kepada sejarah dan negara yang kita lawati,” jelasnya.
Tambah Dato’ Zainal, status keislaman Mustafa Kamal Atatürk sendiri tidak pernah diputuskan secara muktamad oleh mana-mana pihak berautoriti, justeru tiada siapa berhak menjatuhkan hukum secara semberono.
“Tak jelas sama ada beliau Islam atau bukan Islam, dan tiada siapa berani membuat hukum. Itu urusan beliau dengan Allah SWT,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa lawatan tersebut perlu dilihat dalam kerangka diplomasi antarabangsa, bukan dijadikan senjata politik atau modal kecaman berunsur agama.
“Masuk kandang kambing mengembek, masuk kandang kerbau menguak. Bila kita berada di negara orang, kita ikut adat mereka. Yang penting amal kita, niat kita dan hati kita,” ujarnya.
Dalam masa sama, beliau mengingatkan masyarakat agar tidak mudah terpengaruh dengan naratif kecaman yang cuba mengaitkan isu tersebut dengan hukum qat’ie agama tanpa asas yang kukuh.
“Ini urusan tuan rumah. Kita hadir sebagai tetamu, kita ikutlah. Jangan diputar sehingga menimbulkan perpecahan dan salah faham dalam kalangan umat,” katanya lagi.
#BeritaAAC #ZiarahAtaturk #IsuSemasa #PolitikMalaysia #DiplomasiAntarabangsa #VeteranUMNO #FaktaBukanEmosi #NaratifSebenar #PMX #WacanaPolitik