KUALA LUMPUR – Keputusan Jabatan Peguam Negara (AGC) yang mengesahkan status kes Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi daripada DNAA (Discharge Not Amounting to Acquittal) kepada NFA (No Further Action) disifatkan sebagai bukti kebenaran akhirnya terserlah, kata Ketua Penerangan UMNO Cawangan Presint Jasa, Dr. Azam Rauzan.
Mengulas pertanyaan wartawan berhubung perkembangan tersebut, Dr. Azam menegaskan bahawa keputusan itu bukan sekadar isu perundangan, sebaliknya membuktikan takdir dan keadilan Allah SWT.
“Takdir Allah itu benar. Akhirnya yang batil akan tenggelam, yang hak akan timbul,” katanya.
Beliau berkata, sebagai umat Islam, keputusan yang dibuat oleh AGC itu wajar diterima dengan hati terbuka, lebih-lebih lagi apabila ia melibatkan sistem kehakiman negara yang masih diyakini bersifat adil dan saksama.
Dalam masa sama, Dr. Azam menyentuh soal kifarah dan doa orang teraniaya, sambil menyatakan keyakinannya bahawa terdapat unsur penganayaan terhadap Presiden UMNO itu pada suatu ketika dahulu.
“Doa orang teraniaya itu dimakbulkan Allah. Dalam kisah ini, saya berani mengatakan ada unsur-unsur penganayaan apabila Datuk Seri Zahid memilih untuk tidak membubarkan UMNO,” ujarnya.
Menurut beliau, keteguhan Zahid mempertahankan UMNO menjadi faktor penting kelangsungan parti itu sehingga hari ini, termasuk kepimpinan Pemuda UMNO dan penganjuran Perhimpunan Agung UMNO (PAU).
“Kalau UMNO dibubarkan, tak ada UMNO hari ini, tak ada PAU, tak ada kepimpinan muda. Hero kami, hero orang Melayu dan hero UMNO ialah Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi,” katanya lagi.
Dr. Azam turut mengucapkan tahniah kepada Timbalan Perdana Menteri itu sambil menegaskan pendiriannya bahawa sistem kehakiman Malaysia kekal antara yang terbaik dan masih terunggul.
“Apa nak kata pun katalah. Bagi saya, sistem kehakiman kita masih saksama,” katanya mengakhiri kenyataan.
#ZahidHamidi #NFA #KeadilanTerbukti #UMNOBangkit #TakdirAllah #YangHakTimbul #BeritaAAC #PolitikMalaysia #UMNOPertahankan #IsuSemasa