KUALA LUMPUR, 11 Januari 2026 – Alumni 4B Malaysia terus menunjukkan kebangkitan luar jangkaan apabila kehadiran ahli dan peserta dalam siri mesyuarat wilayah mencatatkan angka memberangsangkan, sekali gus membuktikan pertubuhan itu kembali relevan dalam landskap NGO negara.

Presidennya, Datuk Syed Azmi Syed Nazir, berkata mesyuarat yang dianjurkan adalah selaras dengan perlembagaan Alumni 4B Malaysia yang menetapkan persidangan tahunan dan dwi-tahunan sebagai asas tadbir urus organisasi.
“Hari ini merupakan wilayah negeri yang ke-6 mengadakan mesyuarat. Seperti biasa, kita juga akan mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan di Kuantan pada tahun ini dengan penglibatan wakil dari setiap negeri,” katanya ketika ditemui pada Persidangan Tahunan Alumni 4B Wilayah Persekutuan, hari ini.

Menurut beliau, jumlah perwakilan negeri ditentukan berdasarkan kapasiti keahlian, di mana negeri yang mempunyai lebih 5,000 ahli layak menghantar sehingga 30 orang perwakilan.
Mengulas mengenai kehadiran, Syed Azmi berkata sambutan yang diterima amat menggalakkan dan melepasi jangkaan penganjur.
“Petang ini sahaja lebih 100 orang hadir. Pagi tadi di Selangor lebih 80 orang, manakala semalam di Perak juga lebih 100 orang,” jelasnya.
Beliau turut menyifatkan fenomena tersebut sebagai petanda positif bahawa Alumni 4B semakin diterima, bukan sahaja oleh bekas ahli 4B, malah golongan luar yang berminat untuk menyertai pertubuhan itu.
“Saya lihat ramai yang bukan ahli 4B sebelum ini, tetapi kini berminat untuk menjadi ahli. Mungkin mereka melihat Alumni 4B sebagai platform untuk berkecimpung secara aktif dalam NGO,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Alumni 4B Wilayah Persekutuan, Datuk Hj Bahtiar Adnan, turut menyatakan rasa syukur atas kehadiran luar biasa pada persidangan kali ini.
“Kehadiran hari ini sangat menggalakkan. Saya bagi pihak semua merakamkan jutaan terima kasih kepada semua perwakilan dan ahli yang hadir,” katanya.
Walaupun ketiadaan menteri dalam persidangan tersebut, Bahtiar menegaskan semangat dan komitmen ahli tetap utuh.
“Walaupun menteri tidak hadir, semangat kehadiran itu tetap wujud dalam kalangan ahli Alumni 4B Wilayah Persekutuan,” ujarnya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang membantu mempromosikan Alumni 4B Wilayah Persekutuan sehingga berjaya menarik kehadiran yang memberangsangkan.
#Alumni4B #4BBangkit #NGOMalaysia #SuaraBelia #GerakanAnakMuda #Alumni4BWayah #4BRelevan #BeritaAAC #NGOPilihanRakyat #BeliaBersatu