KUALA LUMPUR, 15 Januari 2026 – UMNO perlu bersikap lebih rasional dan matang dalam merangka strategi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16), termasuk memahami realiti politik berbilang kaum dan kepentingan undi bukan Melayu, kata bekas Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Sri Tajuddin Abdul Rahman.
Menurut beliau, meskipun Presiden UMNO telah menyatakan pendirian bahawa parti itu akan bergerak secara ‘solo’, namun ia tidak bermaksud UMNO boleh mengetepikan keperluan strategi, kaedah dan pendekatan yang menyeluruh bagi menarik sokongan pelbagai kelompok pengundi.
“Pergi solo tidak bermakna kita bergerak tanpa strategi. Kita kena fikir secara rasional. Bolehkah kita menang hanya dengan undi Melayu? Berapa kawasan yang boleh dimenangi jika hanya bergantung kepada satu kelompok undi sahaja?” katanya ketika mengulas soalan wartawan berhubung hala tuju UMNO menjelang PRU16.
Datuk Sri Tajuddin menegaskan bahawa realiti politik menunjukkan undi masyarakat Cina, yang kebanyakannya dipengaruhi DAP, tetap memainkan peranan penting dalam menentukan kemenangan di banyak kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri.
Beliau mengambil contoh pengalamannya di Pasir Salak, di mana pendekatan mesra dan hubungan baik dengan pengundi bukan Melayu membolehkan beliau memperoleh sehingga 15 hingga 20 peratus undi Cina, jauh lebih tinggi berbanding kawasan lain yang hanya mencatat sekitar dua hingga lima peratus.
“Kalau asyik bergaduh, gambaran yang kita beri seolah-olah kita berlawan dengan masyarakat Cina. Kalau bergaduh, bolehkah kita dapat undi mereka? Nak menang pilihan raya, kena dapat undi,” tegasnya.
Mengulas situasi politik semasa, beliau berpandangan kerajaan perpaduan yang wujud hari ini memberi ruang kepada kerjasama yang lebih matang, meskipun tidak semestinya dalam bentuk perikatan rasmi.
Sehubungan itu, beliau mengingatkan ahli-ahli parti agar tidak terus berkonfrontasi sesama sendiri, sebaliknya menumpukan usaha memperjuangkan agenda rakyat, khususnya meningkatkan ekonomi, pendidikan dan peluang pekerjaan dalam kalangan orang Melayu.
“Kalau nak jadi hero, tingkatkan ekonomi orang Melayu, tingkatkan pendidikan anak-anak Melayu, beri pekerjaan. Itulah perjuangan sebenar,” katanya.
Dalam masa sama, beliau turut mengingatkan semua pihak supaya menghormati arahan dan nasihat Presiden UMNO agar tidak mencetuskan perbalahan dalaman, khususnya menjelang pilihan raya.
“Lawan kita adalah pembangkang seperti PAS dan BERSATU, bukan sesama kita. Jangan gaduh-gaduh. Itu pesanan Presiden,” katanya lagi.
#PRU16 #UMNO #PolitikMalaysia #KerajaanPerpaduan #UndiBukanMelayu #StrategiPolitik #BeritaAAC #PolitikRasional #TajuddinAbdulRahman #PilihanRaya