KUALA LUMPUR, 15 Januari 2026 – Kelab Bersetia Bersahabat AZH Malaysia menzahirkan rasa syukur dan kesetiaan tidak berbelah bahagi kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, susulan keputusan pihak berkuasa yang mengesahkan status Non Further Action (NFA) terhadap kes yang sebelum ini dikenakan Discharge Not Amounting to Acquittal (DNAA).
Pengerusinya, Dato’ Mustafa Abdul Rahman, berkata satu program khas telah berjaya dianjurkan bagi meraikan keputusan tersebut yang disifatkan sebagai muktamad dan menamatkan segala spekulasi serta dakwaan tidak berasas terhadap Datuk Seri Zahid.
Menurut beliau, Kelab Bersetia Bersahabat AZH merupakan kumpulan yang sentiasa bersama Presiden UMNO itu sejak perbicaraan bermula pada tahun 2019 di Mahkamah Shah Alam sehinggalah di Mahkamah Jalan Duta, Kuala Lumpur.
“Kami sentiasa berada di mahkamah setiap kali perbicaraan dijalankan dan menyaksikan sendiri prosiding kes. Kebanyakan isu yang dibangkitkan pendakwaan adalah tidak munasabah dan saksi-saksi yang dibawa juga tidak relevan,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa keputusan NFA oleh Peguam Negara membuktikan tiada lagi sebarang kes yang boleh dibawa terhadap Datuk Seri Zahid dan pihaknya tidak akan teragak-agak mengambil tindakan undang-undang, termasuk membuat laporan polis, sekiranya terdapat usaha pihak tertentu membangkitkan semula isu lama secara sengaja.
Program tersebut menghimpunkan kira-kira 60 ahli kelab dari seluruh negara termasuk Sabah, Kedah, Kelantan, Terengganu dan negeri-negeri lain, sebagai simbol solidariti dan kesetiaan kepada Presiden UMNO.
Sementara itu, Adnan Salleh, Pengerusi Kelab Bersetia Bersahabat AZH Kuala Terengganu berkata, perjumpaan itu membuktikan sokongan padu akar umbi terhadap Datuk Seri Zahid selaku Presiden UMNO dan penaung kelab tersebut.
“Kehadiran sahabat-sahabat dari seluruh negara menunjukkan sokongan yang sangat kukuh dan tidak pernah luntur,” katanya.
Nada sama disuarakan oleh Sharif Musa Sharif Mabul, Pengerusi Kelab Bersetia Bersahabat AZH Sabah yang menegaskan keputusan mahkamah perlu dihormati semua pihak tanpa campur tangan “tangan-tangan ghaib”.
“Kita ada sistem perundangan yang perlu dipercayai. Bila mahkamah sudah membuat keputusan, semua pihak perlu menerimanya secara adil dan berlapang dada,” ujarnya.
Dalam pada itu, Tn Fakhrul menegaskan keputusan NFA tersebut adalah muktamad dan selaras dengan prinsip kedaulatan undang-undang negara.
“Tiada pembuktian nyata sebelum ini. Kepada ahli-ahli UMNO, jangan ada lagi usaha untuk mentakwihkan kedudukan Presiden UMNO,” katanya.

#SetiaBersamaZahid #NFAZahidHamidi #SolidaritiAZH #DaulatUndangUndang #SokonganPadu #UMNOBersatu #ZahidTidakBersalah #KelabSetiaAZH #PolitikMalaysia #BeritaAAC