KUALA LUMPUR, 16 Januari 2026 – Ucapan dasar Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2025 disifatkan sebagai paling ringkas, padat dan mudah difahami, sekali gus mencerminkan kepimpinan yang kukuh serta hala tuju jelas parti, kata Ketua Penerangan UMNO Cawangan Presint Jasa, Dr Azam Rauzan.
Menurut beliau, kelainan ucapan kali ini jelas apabila Presiden tidak menyentuh isu ekonomi global, politik antarabangsa mahupun angka-angka teknikal seperti KDNK, sebaliknya memberi fokus kepada mesej dalaman parti dan disiplin perjuangan UMNO.
“Dengan bahasa yang mudah, mesejnya jelas – Presiden in control. Beliau tahu apa yang berlaku di atas, bawah, kiri dan kanan. Ada amaran halus supaya tiada siapa menguji kesabaran kepimpinan,” katanya.
Dr Azam menegaskan, ketegasan itu penting bagi mengelakkan perpecahan dalaman dan memastikan UMNO terus kekal sebagai parti berteraskan budaya disiplin serta adab, sejajar dengan sejarahnya yang telah berusia lebih 80 tahun.
Mengulas lanjut, beliau turut menyambut baik inisiatif Presiden UMNO memperkenalkan gagasan Musyawarah Nasional sebagai platform baharu penyatuan Melayu, menggantikan pendekatan payung Melayu sebelum ini yang disifatkan gagal kerana tidak melibatkan UMNO.
“Inilah peluang terbaik untuk semua pemimpin Melayu, termasuk yang pernah dipecat, digantung atau berada dalam BERSATU dan PAS, untuk kembali duduk semeja. Carik-carik bulu ayam, lama-lama bercantum juga,” ujarnya.
Beliau percaya Musyawarah Nasional yang bakal disertai pelbagai pihak itu mencerminkan jiwa besar Presiden UMNO serta selari dengan tuntutan Islam yang menggalakkan perpaduan, dengan syarat keikhlasan dan kejujuran dalam perjuangan bangsa Melayu.
Selain itu, Dr Azam turut mengingatkan UMNO dan Barisan Nasional agar mengambil iktibar daripada situasi politik luar biasa di Sabah, yang menurutnya menjadi pengajaran penting menjelang PRU ke-16 serta PRN Melaka dan Johor.
“Saya yakin Barisan Nasional akan melakukan reformasi dan revolusi baharu. Zaman sudah berubah dan semangat setiakawan mesti diperkukuh,” katanya.
Walaupun mengakui kehadiran golongan muda dilihat kurang menyerlah, beliau menegaskan PAU 2025 tetap berlangsung dalam suasana meriah dan penuh kesepaduan, sambil mendoakan kejayaan perhimpunan serta kepimpinan Presiden UMNO.
#PAU2025 #UMNOBangkit #ZahidInControl #MusyawarahNasional #PenyatuanMelayu #PolitikMatang #PRU16 #UMNO80Tahun #BeritaAAC #PolitikSemasa