KUALA LUMPUR, 16 Januari 2026 – Ucapan dasar Presiden UMNO pada hari pertama Persidangan UMNO 2025 disifatkan sebagai mesej penting yang mengajak ahli dan kepimpinan parti keluar daripada kepompong politik lama serta berani melakukan penyesuaian baharu terhadap realiti politik semasa.
Ketua UMNO Cawangan Presint Jasa, Dr. Norman Sapar, berkata Presiden UMNO menekankan tentang fenomena “kepelikan politik” yang sedang berlaku ketika ini, sekali gus mengingatkan ahli parti agar tidak terus terperangkap dengan pendekatan dan gaya politik lapuk.
“Presiden menegaskan bahawa politik hari ini memerlukan penyelesaian yang tuntas, bukan lagi pendekatan lama yang tidak selari dengan kehendak semasa rakyat,” katanya ketika mengulas ucapan dasar Presiden UMNO.
Menurut beliau, walaupun persidangan tersebut diadakan pada tahun 2026, ia kekal sebagai Persidangan UMNO 2025 dan memberi isyarat bahawa UMNO bakal berdepan dua Persidangan Agung dalam tempoh setahun, sekali gus mencerminkan fasa penting penstrukturan semula parti.
Mengulas isu penyatuan Melayu, Dr. Norman menjelaskan bahawa pendekatan yang digariskan Presiden UMNO adalah usaha strategik untuk membina semula kepercayaan dan sokongan orang Melayu terhadap UMNO.
“Berdasarkan realiti sokongan semasa, sebahagian besar orang Melayu kini menyokong Perikatan Nasional, manakala sokongan kepada UMNO dan Barisan Nasional sekitar 35 hingga 40 peratus, dengan selebihnya menyokong Pakatan Harapan,” jelasnya.
Katanya, situasi itu menuntut kerjasama politik orang Melayu disusun semula, dikemaskini dan disegarkan agar UMNO kembali menjadi pilihan utama seperti pada pilihan raya terdahulu.
Dalam hal ini, beliau menyambut baik beberapa inisiatif yang diumumkan Presiden UMNO, termasuk penubuhan Jawatankuasa Penyatuan Ummah, penubuhan Rumah Bangsa Melayu, serta usaha penjenamaan semula Barisan Nasional.
“Tiga inisiatif ini saya lihat sebagai strategi penting untuk menyegarkan semula kerjasama politik Melayu dan membuka ruang kepada penyatuan yang lebih inklusif,” katanya.
Tambah beliau, Presiden UMNO turut membuka pintu kepada bekas ahli UMNO serta seluruh orang Melayu untuk kembali bersatu di bawah gagasan Rumah Bangsa Melayu, demi mengembalikan kekuatan teras politik Melayu di Malaysia.
#UcapanPresidenUMNO #KepelikanPolitik #PenyatuanMelayu #RumahBangsaMelayu #UMNO2025 #PolitikBaharu #BNRebranding #PenyatuanUmmah #BeritaAAC #PolitikMalaysia