KUALA LUMPUR, 16 Januari 2026 – Timbalan Ketua UMNO Bahagian Gua Musang, YB Datuk Mohd Syahbuddin bin Hashim menyifatkan Ucapan Dasar Presiden UMNO sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2025 sebagai pencetus semangat baharu yang membawa hala tuju jelas kepada gerak kerja parti di semua peringkat.
Beliau berkata, idea serta gagasan yang diketengahkan oleh Datuk Seri Presiden UMNO bukan sahaja bersifat konstruktif, malah menyentuh aspek pemerkasaan dan pemantapan strategi politik parti menjelang cabaran politik akan datang.
“Pertama sekali saya ingin mengucapkan tahniah kepada Datuk Seri Presiden atas cetusan semangat, idea dan pendekatan yang sangat membina dalam ucapan dasar pagi ini,” katanya ketika ditemui di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), hari ini.
Menurut beliau, penekanan Presiden terhadap usaha memperkukuh keupayaan politik parti dilihat sebagai satu titik mula kepada pembaharuan menyeluruh, termasuk dari sudut gerak kerja di peringkat akar umbi.
Tambahnya, semangat pembaharuan atau renaissance yang dibawa melalui PAU 2025 perlu diterjemahkan dalam bentuk tindakan di lapangan, bukan sekadar kekal sebagai wacana di perhimpunan tahunan parti.
“Saya yakin apa yang disampaikan oleh Presiden ini mampu menjadi permulaan kepada semua pendukung parti untuk melakukan pembaharuan dan memperkemaskan gerak kerja masing-masing di kawasan,” ujarnya.
Beliau turut berharap agar semangat PAU 2025 yang tercetus di WTCKL akan terus dibawa ke seluruh negara, sekali gus memperkukuh sokongan rakyat terhadap UMNO di peringkat akar umbi.
#PAU2025 #UMNOBangkit #SemangatPembaharuan #RenaissanceUMNO #PolitikMalaysia #UMNOGuaMusang #GerakKerjaAkarUmbi #BeritaAAC #UMNOReform #SuaraPemimpin