KUALA LUMPUR, 16 Januari 2026 – Ucapan Dasar Presiden UMNO yang disampaikan pagi ini disifatkan ringkas namun sarat dengan mesej mendalam, khususnya berkaitan usaha memperkukuh penyatuan dan membina semula UMNO sebagai wadah utama perpaduan orang Melayu.
Ketua Pemuda UMNO Negeri Selangor merangkap Ketua Pemuda UMNO Sungai Besar, Dato’ Mohd Imran, berkata ucapan Yang Amat Berhormat Datuk Seri Presiden UMNO itu membuka ruang yang luas untuk seluruh ahli parti menelusuri hala tuju baharu UMNO dalam mendepani dinamika politik semasa.
“Ucapan dasar kali ini walaupun ringkas, namun isi kandungannya sangat mendalam, terutamanya berkaitan penyatuan dan usaha membuka pintu seluas-luasnya untuk membina semula rumah UMNO sebagai pusat penyatuan orang Melayu,” katanya.
Menurut beliau, mesej tersebut amat penting dalam memastikan UMNO terus relevan sebagai sebuah parti politik yang bukan sahaja berfungsi sebagai organisasi parti, tetapi juga sebagai organisasi yang mentadbir dan memegang amanah kuasa dalam pentadbiran kerajaan hari ini.
Dato’ Mohd Imran turut menyatakan keyakinan bahawa perkara-perkara utama yang dibangkitkan dalam ucapan dasar itu akan dibahaskan secara menyeluruh oleh para perwakilan sepanjang persidangan berlangsung.
Beliau berharap perbahasan yang akan berlangsung, khususnya daripada sayap Pemuda UMNO Selangor dan Pemuda UMNO Sungai Besar, mampu melahirkan idea-idea bernas serta pandangan strategik bagi memperkukuhkan lagi pendirian dan ketetapan parti.
“Harapan saya agar perbahasan kali ini dapat membuahkan buah fikiran yang konstruktif untuk mengembangkan lagi inti pati Ucapan Dasar Presiden, bukan sahaja dalam konteks parti, tetapi juga dalam konteks pentadbiran dan tanggungjawab kepada rakyat,” katanya lagi.
Ucapan dasar Presiden UMNO dilihat sebagai isyarat jelas bahawa parti itu kini berada dalam fasa pembaharuan dan konsolidasi, sejajar dengan cabaran politik semasa dan keperluan untuk memperkukuh sokongan akar umbi.
#UMNOPembaharuan #RumahUMNO #PenyatuanMelayu #PemudaUMNO #PAU2025 #UMNOSelangor #PolitikSemasa #BangkitBersatu #BeritaAAC #SuaraPemuda