KUALA LUMPUR, 18 Januari 2026 – Presiden UMNO, Dato’ Sri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan bahawa tidak wujud sebarang pembahagian kem atau ‘Team A’ dan ‘Team B’ dalam DAP, selari dengan penjelasan yang dibuat oleh Setiausaha Agung DAP, YB Anthony Loke.
Menurut Ahmad Zahid, beliau bersetuju dengan kenyataan Anthony Loke yang menafikan kewujudan perpecahan dalaman parti itu, sambil menjelaskan bahawa kenyataannya sebelum ini telah disalah tafsir.
“Saya telah membaca respon daripada YB Anthony Loke yang menyatakan tidak ada Team A dan Team B dalam DAP, dan saya bersetuju dengan beliau,” katanya.
Beliau menjelaskan bahawa maksud sebenar ucapannya semasa penangguhan Perhimpunan Agung UMNO adalah untuk memperincikan kewujudan beberapa kenyataan bercanggah yang dikeluarkan oleh segelintir kecil pimpinan DAP, khususnya berkaitan isu yang dibangkitkan oleh Ketua Pemuda UMNO Malaysia, YB Dato’ Dr Akmal Saleh.
Tegas beliau, kenyataan-kenyataan tersebut tidak boleh dianggap sebagai pendirian rasmi DAP, sebaliknya hanya pandangan peribadi daripada kumpulan kecil dalam parti berkenaan.
“Ia bukan asas kepada keputusan rasmi parti. Itu cuma gambaran terhadap perbezaan pendapat kecil, bukan keabsahan kewujudan dua kem dalam DAP,” jelasnya lagi.
Sehubungan itu, Ahmad Zahid turut menarik balik kenyataannya sekiranya ia menyinggung perasaan kepimpinan DAP, sambil menegaskan bahawa beliau tidak pernah berniat untuk menggambarkan wujudnya perpecahan dalaman dalam parti tersebut.
Beliau turut merujuk pandangan yang sama disuarakan oleh Naib Presiden UMNO, Dato’ Sri Johari Ghani dan Timbalan Presiden UMNO, Dato’ Sri Utama Haji Mohamad Hasan, bahawa sebarang pandangan yang tidak mewakili pendirian rasmi sesebuah parti tidak wajar dijadikan sandaran utama.
Ahmad Zahid berharap penjelasan itu dapat difahami semua pihak demi memastikan kestabilan politik dan hubungan baik antara parti dalam kerajaan terus terpelihara.
#BeritaAAC #ZahidHamidi #UMNO #DAP #PolitikMalaysia #IsuSemasa #PerhimpunanAgungUMNO #AnthonyLoke!#DrAkmalSaleh #StabilitiPolitik