KUALA LUMPUR, 16 Januari 2026 – Tindakan YB Dr Akmal meletakkan jawatan sebagai EXCO Kerajaan Negeri Melaka namun kekal sebagai Ketua Pemuda UMNO mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan pemerhati politik, khususnya berkait kenyataan Presiden UMNO yang menyifatkan Dr Akmal sebagai pemimpin yang lantang mengkritik DAP.
Mengulas isu tersebut, Ketua UMNO Cawangan Presint Jasa, Dr. Norman Sapar, menegaskan bahawa politik hari ini perlu didekati dengan kematangan dan kebijaksanaan, bukannya berteraskan emosi semata-mata.
“Politik matang bermaksud kita fokus kepada solusi, bukan membuka ruang kepada polemik yang akhirnya tidak menyelesaikan masalah,” katanya ketika diminta mengulas sama ada pendekatan menyerang DAP wajar diteruskan oleh Ketua Pemuda UMNO.
Menurut beliau, peranan sayap pemuda sememangnya penting sebagai suara idealisme parti, namun perlu diseimbangkan dengan adab dan disiplin dalam perjuangan.
“Memang benar pemuda perlukan karisma, ketegasan dan keberanian untuk bersuara. Tetapi ketegasan itu mesti beradab, dan perjuangan mesti berdisiplin,” jelasnya.
Tambah Dr. Norman, sikap lantang dalam politik tidak seharusnya diterjemahkan dalam bentuk yang mengundang konflik berpanjangan atau mengeruhkan suasana politik negara.
“Kita boleh lantang, tetapi biarlah lantang secara berhemah. Itu yang lebih dihormati dan memberi kesan jangka panjang kepada parti serta negara,” katanya.
Beliau bagaimanapun menegaskan bahawa kenyataannya itu hanyalah pandangan umum terhadap isu melibatkan kepimpinan Pemuda UMNO, dan berharap semua pihak dapat melihat politik dari sudut penyelesaian, bukan pertembungan emosi.
#BeritaAAC #PolitikMatang #PemudaUMNO #DrAkmal #UMNOMalaysia #IsuSemasa #PolitikBerhemah #DAP #SuaraPemuda #PAU2025