KUALA LUMPUR, 16 Januari 2026 – Penyatuan ummah dan perpaduan politik Melayu bukanlah sesuatu yang mustahil, sebaliknya memerlukan keikhlasan, pengorbanan dan kesediaan semua pihak untuk mengetepikan ego serta sengketa lama demi masa depan bangsa.
Ketua Penerangan UMNO Cawangan Presint Jasa, Dr Azam Rauzan, berkata politik merupakan “the game of the impossible” dan sejarah telah membuktikan bahawa perkara yang dianggap mustahil mampu menjadi kenyataan sekiranya wujud kesungguhan dan visi bersama.
Menurut beliau, gagasan Musyawarah Nasional dan penyatuan ummah yang diilhamkan oleh Presiden UMNO, Dato’ Sri Dr Ahmad Zahid Hamidi, perlu dilihat sebagai usaha strategik demi kelangsungan bukan sahaja parti politik, tetapi survival orang Melayu secara keseluruhan.
“Kalau pemimpin UMNO dan parti-parti Melayu ada visi masa depan yang jelas, mereka akan faham bahawa penyatuan ini sangat penting. Ia bukan sekadar soal parti, tetapi masa depan bangsa Melayu,” katanya.
Dr Azam menegaskan bahawa inilah masa terbaik untuk semua pihak kembali ke meja rundingan dengan hati terbuka, termasuk melibatkan UMNO, PAS dan BERSATU, demi membentuk satu payung besar perpaduan Melayu.
Beliau turut menyeru agar semua pihak melupakan kesilapan lalu dan bersedia ‘membersihkan’ kembali hubungan yang pernah retak kerana dalam politik, tiada pihak yang sempurna.
Dalam pada itu, Dr Azam menekankan keperluan kejujuran dan keikhlasan dalam sebarang rundingan, khususnya soal pembahagian kuasa yang perlu bersifat menang-menang (win-win situation).
“Kalau hanya tawaran kecil diberi, sedangkan ada pihak yang menguasai beberapa negeri, itu bukan kejujuran. Penyatuan mesti dibuat dengan ikhlas,” tegasnya.
Beliau yakin, dengan izin Allah SWT, penyatuan ummah di bawah satu payung mampu direalisasikan demi membina ‘rumah agam bangsa Melayu’, bukan untuk mana-mana parti semata-mata.
#PerpaduanUmmah #PenyatuanMelayu #PolitikMelayu #MusyawarahNasional #SurvivalBangsa #UMNOPASBERSATU #AgendaUmmah #PolitikMasaDepan #BeritaAAC #RumahAgamMelayu