KUALA LUMPUR, 18 Januari 2026 — Parti Progresif Penduduk (PPP) menyambut baik pengumuman rasmi Pengerusi Barisan Nasional (BN) berhubung pengesahan status parti itu sebagai ahli komponen penuh Barisan Nasional, sekali gus menamatkan penantian panjang selama lebih lima tahun.
Presiden PPP, Dato’ Loga Bala Mohan, berkata pengumuman tersebut merupakan satu berita baik dan amat bermakna buat seluruh kepimpinan serta akar umbi parti itu.
“Hari ini kita bersyukur mendapat berita baik daripada Pengerusi Barisan Nasional yang telah mengumumkan status PPP dalam Barisan Nasional. Kami amat menghargai pengumuman tersebut serta segala bantuan dan sumbangan yang telah dihulurkan kepada PPP sempena Perhimpunan Agung ini,” katanya.
Menurut beliau, selepas pengumuman bersejarah itu, Perhimpunan Agung PPP ke-72 akan diteruskan dengan pembentangan dan perbahasan tujuh usul, selain ucapan dasar yang akan dibahaskan oleh lima orang perwakilan.
Dato’ Loga Bala turut menegaskan bahawa PPP kini bersedia menyusun semula struktur parti dari peringkat akar umbi hingga kepimpinan tertinggi bagi menyertai sepenuhnya jentera Barisan Nasional serta membantu memperkukuh gerak kerja gabungan itu.
Dalam pada itu, beliau mengesahkan bahawa surat rasmi berkaitan status PPP dalam BN adalah bertarikh 3 November 2025.
Sementara itu, Bendahari Agung PPP, Datuk Sri Darjit Singh, menyifatkan hari ini sebagai detik yang amat bermakna dan bersejarah buat parti tersebut.
“Hari ini adalah satu hari yang mulia untuk PPP kerana Pengerusi Barisan Nasional telah secara rasmi mengumumkan bahawa PPP sentiasa dan akan terus menjadi ahli komponen Barisan Nasional,” katanya.
Beliau berkata pengumuman khas itu dibuat secara terbuka semasa Perhimpunan Agung Tahunan (AGM) PPP ke-72, sekali gus menegaskan bahawa PPP adalah komponen BN sejak dahulu, kini dan untuk masa hadapan.
“Kami telah menunggu pengesahan ini lebih kurang lima tahun lebih. Surat rasmi itu sendiri bertarikh 3 November 2025,” jelasnya.
Pengumuman ini dilihat sebagai satu langkah penting dalam memperkukuh semula landskap politik Barisan Nasional, khususnya dalam usaha menyatukan parti-parti komponen bagi menghadapi cabaran politik semasa dan akan datang.
#PPP #BarisanNasional #PolitikMalaysia #AGMPPP72 #BeritaAAC #BNKukuh #PolitikTerkini #GabunganBN #MalaysiaMadani #BeritaSemasa