KUALA LUMPUR, 18 Januari 2026 – Presiden Parti Progresif Penduduk Malaysia (PPP), Dato’ Loga Bala Mohan menegaskan bahawa isu pengampunan terhadap Datuk Seri Najib Razak bukan sekadar dibangkitkan secara retorik, sebaliknya lahir daripada keikhlasan dan kesetiaan sebenar akar umbi parti itu.
Menurut beliau, perkara tersebut telah disentuh secara terbuka dalam ucapan dasar beliau, sekali gus menerima sokongan padu apabila semua perwakilan dan pemerhati bangun menyatakan persetujuan terhadap pendirian yang disuarakan.
“Selama ini kita tidak mempunyai peluang untuk menunjukkan kesetiaan dan keikhlasan kami terhadap Datuk Seri Najib. Hari ini, peluang itu ada dan kami menyatakannya dengan penuh ikhlas apa yang kami rasa,” katanya.
Dato’ Loga Bala turut menjelaskan bahawa sokongan tersebut tidak bermakna PPP mengetepikan keluhuran Perlembagaan dan kedaulatan undang-undang, namun menegaskan suara hati rakyat juga wajar diberi ruang dalam wacana nasional.
“Walaupun kita menghormati undang-undang, di hati dan sanubari rakyat Malaysia, khususnya dalam kalangan masyarakat India, Datuk Seri Najib adalah seorang pemimpin yang paling banyak menyumbang kepada pembangunan masyarakat,” ujarnya.
Kenyataan itu dilihat mencerminkan sentimen akar umbi PPP yang mahu menyatakan penghargaan terhadap sumbangan bekas Perdana Menteri itu, selain memperlihatkan pendirian terbuka parti berkenaan dalam isu-isu nasional yang sensitif.
#BeritaAAC #PPP #LogaBalaMohan #NajibRazak #PengampunanPenuh #PolitikMalaysia #SuaraRakyat #MasyarakatIndia #Kesetiaan #IsuSemasa