KUALA LUMPUR, 18 Januari 2026 – Parti Progresif Penduduk (PPP) memberi jaminan akan memainkan peranan aktif dan berkesan dalam memperkukuhkan Barisan Nasional (BN) selepas disahkan sebagai komponen gabungan itu.
Presiden PPP, Dato’ Loga Bala Mohan berkata, penyertaan PPP bukan sekadar simbolik, sebaliknya membawa bersama kekuatan sebenar yang mampu menyumbang kepada BN demi kepentingan rakyat Malaysia.
Menurut beliau, dalam ucapan dasar yang disampaikan sebelum ini, PPP komited untuk menjadi suara kepada rakyat serta membantu memperkukuhkan jentera BN dari pelbagai sudut.
“Kita boleh beri suara kepada rakyat Malaysia dan boleh beri kekuatan kepada Barisan Nasional,” katanya ketika menjawab soalan wartawan mengenai peranan PPP selepas diumumkan sebagai komponen BN.
Dato’ Loga Bala menjelaskan, kekuatan yang dimaksudkan merangkumi aspek keahlian serta struktur parti yang tersusun dan berkeupayaan untuk melaksanakan agenda serta perancangan BN demi kesejahteraan rakyat.
Tambah beliau, PPP kini bersedia untuk turun padang dan memulakan gerak kerja secara menyeluruh bersama BN.
“Sekarang kita akan mulalah kerja-kerja kita. Dari satu suara, satu hati, senada sejiwa, kita akan turun untuk membantu Barisan Nasional,” katanya.
Beliau menegaskan, kerjasama erat antara PPP dan BN diharapkan mampu memberi impak positif kepada kestabilan politik serta memperkukuhkan kepercayaan rakyat terhadap gabungan tersebut.
#BeritaAAC #PPPBN #BarisanNasional #PolitikMalaysia #SuaraRakyat #SatuSuaraSatuHati #LogaBalaMohan #GabunganBN #PolitikSemasa #BeritaTerkini