KUALA LUMPUR, 16 Januari 2026 – Ucapan Dasar Presiden UMNO kali ini disifatkan sebagai yang terpendek sejak 2018, namun sarat dengan mesej besar yang mencerminkan perubahan landskap dan dinamika politik baharu negara.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Sri Reezal Merican, berkata sepanjang beberapa siri ucapan dasar sebelum ini, lazimnya Presiden mengambil masa yang panjang, namun kali ini pendekatan berbeza diambil tanpa menjejaskan kekuatan isi kandungan.
Menurut beliau, walaupun ringkas, ucapan dasar tersebut membawa sudut pandang yang luar biasa, khususnya apabila Presiden UMNO menekankan konsep Musyawarah Nasional sebagai teras kepada hala tuju politik semasa.
“Musyawarah Nasional itu adalah signal paling kuat untuk difahami oleh semua pihak bahawa ini adalah permulaan kepada dinamika politik yang baharu,” katanya.
Beliau menjelaskan bahawa dinamika politik masa kini tidak lagi bergantung kepada dominasi jumlah kerusi atau kekuatan angka semata-mata, sebaliknya menuntut keupayaan untuk berunding dan mencapai kesepakatan.
“The real tools of politics sekarang bukan tentang siapa paling besar atau dominan, tetapi sejauh mana keupayaan untuk berunding,” jelasnya.
Datuk Sri Reezal turut menekankan pemilihan istilah musyawarah bukan sekadar retorik, sebaliknya mempunyai nilai tersendiri kerana berakar daripada prinsip Islam dan disebut dalam al-Quran, sekali gus membawa makna mendalam kepada ahli-ahli UMNO dan masyarakat.
Tambah beliau, mesej yang dibawa Presiden itu bersifat terbuka dan inklusif, bukan sahaja kepada parti-parti dalam kerajaan, malah juga kepada pihak pembangkang, demi kepentingan negara dan rakyat.
“Ini adalah ucapan dasar yang sangat terbuka dan wajar diterima serta difahami oleh semua parti, sama ada dalam kerajaan atau pembangkang,” katanya lagi.
#BeritaAAC #UMNO #MusyawarahNasional #PolitikMalaysia #DinamikaPolitik #UcapanDasar #ReezalMerican #MuafakatNasional #PolitikMatang #UntukNegaraDanRakyat