KUALA LUMPUR, 19 Januari 2026 – Persidangan Agung UMNO (PAU) 2025 meluluskan beberapa resolusi penting yang disifatkan amat dekat di hati rakyat dan mencerminkan teras sebenar perjuangan parti itu dalam memperkukuh perpaduan nasional, pendidikan serta kebajikan rakyat.
Ketua UMNO Bahagian Subang, Dato’ Dr Armand Azha Hj Abu Hanifah, berkata antara resolusi utama yang wajar diberikan penjelasan menyeluruh kepada rakyat ialah penubuhan Rumah Bangsa UMNO, usaha mengembalikan peperiksaan UPSR dan PT3, serta pelaksanaan Skim Perlindungan Khas untuk Guru.
Menurut beliau, resolusi-resolusi tersebut jauh lebih signifikan berbanding polemik berpanjangan di media sosial yang terus memfokuskan isu lama melibatkan UMNO dan DAP, sedangkan keputusan PAU 2025 menyentuh secara langsung masa depan rakyat tanpa mengira agama, kaum atau fahaman politik.
“Rumah Bangsa UMNO adalah gagasan penyatuan dan perpaduan nasional. Ia menjadi platform untuk merapatkan jurang sesama rakyat, memperkukuh kestabilan serta membina masa depan Malaysia yang lebih harmoni,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau turut menegaskan bahawa resolusi mengembalikan UPSR dan PT3 merupakan suara tulen ibu bapa yang resah dengan ketiadaan penilaian besar dalam sistem pendidikan sebelum Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
“Tanpa UPSR dan PT3, sukar untuk mengukur tahap kefahaman, kebolehan dan perkembangan pelajar. UMNO mendengar rintihan akar umbi dan membawa perkara ini sebagai resolusi demi masa depan generasi pewaris negara, dan Alhamdulillah ia telah diluluskan,” ujarnya.
Dalam pada itu, Dato’ Dr Armand Azha berkata pelaksanaan Skim Perlindungan Khas untuk Guru adalah langkah penting bagi menjaga kebajikan serta keselamatan warga pendidik yang berdepan pelbagai cabaran dalam mendidik anak bangsa.
“Guru adalah tonggak pembentukan jati diri, disiplin dan akhlak generasi masa depan. Justeru, mereka wajar diberikan perlindungan sewajarnya,” katanya.
Tambah beliau, UMNO kekal konsisten memperjuangkan agenda rakyat sejak dahulu hingga kini, meskipun berdepan cabaran sokongan yang tidak menentu. UMNO, katanya, memilih pendekatan matang dan dasar membina berbanding retorik politik yang gagal menyelesaikan masalah rakyat.
Sehubungan itu, beliau menyeru seluruh ahli dan pendukung UMNO agar bersama-sama memperjelaskan serta menerangkan kepada rakyat mengenai resolusi-resolusi yang telah diluluskan dalam PAU 2025 demi kepentingan negara.
“Bersatu – Bersetia – Berkhidmat,” katanya.
#PAU2025 #ResolusiUMNO #RumahBangsaUMNO!#UPSRPT3 #AgendaRakyat!#PendidikanNegara #KebajikanGuru!#UMNOBangkit #PolitikMatang #BeritaAAC