KUALA LUMPUR, 17 Januari 2026 – Ucapan dasar Presiden UMNO yang menyentuh konsep “Rumah Bangsa” pada Perhimpunan Agung UMNO 2025 (PAU2025) disifatkan sebagai satu seruan ikhlas dan berjiwa besar untuk menyatukan bangsa Melayu yang semakin berpecah, kata Ketua UMNO Bahagian Sungai Petani Kedah, Dato’ Shahanim Mohamad Yusoff.
Menurut beliau, konsep Rumah Bangsa yang diketengahkan Presiden UMNO bukan merujuk kepada kepentingan parti semata-mata, sebaliknya membawa makna yang lebih besar iaitu penyatuan seluruh bangsa Melayu di bawah satu payung yang kukuh dan stabil.
“Saya sangat tersentuh bila Presiden sebut Rumah Bangsa, bukan Rumah UMNO. Bagi saya ini rumah bangsa Melayu, rumah yang besar dan kukuh untuk menyatukan orang Melayu,” katanya ketika mengulas ucapan dasar Presiden UMNO.
Dato’ Shahanim berkata, sudah tiba masanya pemimpin-pemimpin Melayu daripada pelbagai parti politik mengetepikan ego, ketamakan dan sifat bongkak demi masa depan bangsa Melayu untuk tempoh 10 hingga 30 tahun akan datang.
Beliau menegaskan bahawa formula Melayu bersatu dan Melayu kuat terletak pada kesediaan pemimpin Melayu untuk berpakat dan duduk bersama di bawah satu rumah yang sama, tanpa rasa diri paling kuat atau paling berpengaruh.
“Kalau Melayu terus berpecah, Presiden nampak ke depan Melayu akan lemah dan boleh lenyap. Sebab itu semua pemimpin Melayu kena berjiwa besar dan bekerjasama,” katanya lagi.
Mengulas lanjut, beliau menyatakan sokongan penuh terhadap gagasan Rumah Bangsa dan percaya UMNO mampu menjadi tunjang utama dalam menghimpunkan parti-parti politik yang mempunyai asas Melayu seperti PAS, Bersatu, Amanah dan Pejuang untuk berbincang demi kepentingan bangsa dan agama.
“UMNO boleh jadi tunjang untuk memanggil semua parti-parti Melayu ini duduk berbincang bagaimana kaedahnya untuk berada dalam Rumah Bangsa,” jelasnya.
Dato’ Shahanim turut mengimbas pengalaman lebih 25 tahun dalam politik dan menyatakan perpecahan Melayu yang berpanjangan hanya akan merugikan generasi akan datang.
“Inilah masanya bangsa Melayu bersatu. Kalau tidak, anak cucu cicit kita nanti akan menyalahkan kita kerana kegagalan menyatukan Melayu,” tegas beliau.
Beliau berharap keikhlasan Presiden UMNO dalam membawa gagasan Rumah Bangsa akan mendapat pertolongan Allah SWT demi menyatukan umat Islam dan bangsa Melayu di negara ini.
#RumahBangsa #PAU2025 #UMNOMalaysia #PenyatuanMelayu #MelayuBersatu #PolitikMelayu #SuaraUMNO #BeritaAAC #MasaDepanMelayu #IslamDanMelayu