KUALA LUMPUR , 17 Januari 2026 – UMNO perlu memberi penekanan serius terhadap pemerkasaan sayap digital bagi memastikan parti terus relevan dan dekat dengan generasi muda, selari dengan perubahan landskap politik semasa.
Ketua UMNO Bahagian Sungai Petani, Dato’ Shahanim Mohamad Yusoff berkata, pendekatan politik tradisional seperti ceramah secara fizikal kini tidak lagi berkesan sepenuhnya, khususnya dalam usaha menarik penyertaan golongan muda.
Menurut beliau, berdasarkan pengalamannya di kawasan yang merangkumi kampung dan bandar, penganjuran ceramah yang menyasarkan kehadiran 50 orang sering kali tidak mencapai sasaran, malah majoriti yang hadir adalah golongan lama dan berusia.
“Sekarang kalau kita panggil ceramah, kita target 50 orang, satu orang pun belum tentu dapat. Paling ramai pun sekitar 20 hingga 30 orang, itu pun orang lama. Di sinilah pentingnya peranan media dan digital,” katanya ketika mengulas ucapan dasar Presiden UMNO yang menyentuh keperluan memperkasakan sayap digital parti.
Tambah beliau, golongan muda hari ini mempunyai corak kehidupan dan keutamaan yang berbeza, di mana kekangan masa dan komitmen kerja menyebabkan mereka sukar menghadiri program fizikal.
“Anak-anak muda ini adalah zaman mereka. Mereka pemimpin pelapis dan pewaris masa depan negara. Mereka mungkin tidak datang ke ceramah, tetapi apabila pulang ke rumah, mereka akan melihat dan mengikuti kandungan digital,” jelasnya.
Sehubungan itu, Dato’ Shahanim menegaskan sokongan penuhnya terhadap usaha UMNO memperkukuhkan sayap digital sebagai medium utama untuk menyampaikan mesej parti, mendekati anak muda serta membina sokongan jangka panjang.
#SayapDigitalUMNO #PolitikDigital #UMNOMuda #AnakMudaPemimpinPelapis #UMNORelevan?#MediaDigital #TransformasiPolitik #BeritaAAC #SuaraUMNO #PolitikMasaDepan