KUALA LUMPUR, 26 Jan 2026 – Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) menggesa pihak berkuasa supaya bertindak lebih telus dan tegas dalam menangani isu Skim Pulangan Sewa Terjamin atau Guaranteed Rental Return (GRR) yang didakwa telah memperdaya puluhan pelabur hartanah di negara ini.
Menurut MHO, pihaknya menerima aduan daripada mangsa-mangsa yang mendakwa mereka telah dimanipulasi oleh sebuah syarikat yang menawarkan skim pelaburan GRR, sehingga mendorong pembelian unit hartanah dalam satu projek tertentu. Secara keseluruhan, sebanyak 69 unit kediaman terlibat dengan jumlah nilai pembelian mencecah RM47.23 juta.
Setiausaha Agung MHO, Dato’ Hishamuddin bin Hashim, berkata skim pelaburan GRR yang mula diperkenalkan sekitar tahun 2000 sering dipromosikan sebagai pelaburan selamat dengan pulangan tinggi, namun hakikatnya mengandungi ciri-ciri yang wajar disiasat secara mendalam oleh pihak penguatkuasaan.
“Antara elemen yang ditawarkan termasuk jaminan pulangan sewa antara 8 hingga 12 peratus setahun, janji pembelian semula unit oleh syarikat, serta pengurusan sepenuhnya oleh pihak syarikat tanpa penglibatan pelabur,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah beliau, sehingga kini para pengadu masih belum menerima sebarang maklum balas rasmi mengenai status siasatan walaupun tempoh yang dilalui dianggap munasabah untuk sekurang-kurangnya diberikan penjelasan awal.
MHO berpandangan isu ini bukan sekadar pertikaian komersial biasa, sebaliknya berpotensi melibatkan ciri-ciri skim pelaburan berkepentingan seperti yang diperuntukkan di bawah undang-undang sedia ada, khususnya apabila melibatkan jaminan pulangan, pengurusan berpusat dan peranan pelabur yang pasif.
Bagaimanapun, MHO menegaskan sidang media yang diadakan tidak bertujuan untuk membuat kesimpulan awal atau menuding jari kepada mana-mana pihak, sebaliknya menuntut ketelusan, kebertanggungjawaban serta komunikasi jelas daripada agensi berkaitan demi mengekalkan keyakinan awam terhadap sistem kawal selia negara.
Sehubungan itu, MHO menggesa pihak berkuasa agar segera memaklumkan status siasatan serta mengambil tindakan sewajarnya sekiranya terdapat sebarang pelanggaran undang-undang.
Para mangsa, menurut MHO, bersedia memberikan kerjasama penuh termasuk mengemukakan dokumen tambahan bagi memastikan siasatan dijalankan secara menyeluruh.
Dalam perkembangan berkaitan, satu memorandum telah diserahkan oleh wakil MHO merangkap Setiausaha Kerja MHO, Encik Izzat Izzuddin Idris, kepada wakil Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Puan Fatihah dari Unit Aduan SSM, bagi menuntut penelitian serius terhadap aduan yang dikemukakan.
MHO menegaskan komitmennya untuk terus menjadi suara kepada mangsa serta memperjuangkan keadilan, ketelusan dan perlindungan kepentingan awam selaras dengan lunas undang-undang negara.
#BeritaAAC #SkimGRR #PulanganSewaTerjamin #PelaburanHartanah #MangsaPelaburan #MHO #Ketelusan #KeadilanUntukMangsa #Penguatkuasaan #IsuRakyat