KUALA LUMPUR – Tindakan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) merobohkan gerai peniaga di Leboh Ampang tanpa notis jelas mencetuskan tanda tanya besar apabila tanah milik DBKL itu didakwa kemudiannya diserahkan kepada pihak swasta.
Aktivis sosial, Dato’ Dr Kalaivanar dari Sekretariat Bahana Kesetiaan Negara (SBKN) mempersoalkan bagaimana peniaga yang telah berniaga selama 32 tahun di lokasi tersebut boleh dihalau secara tiba-tiba, sedangkan kawasan itu sebelum ini dibangunkan menggunakan wang cukai rakyat.
Menurut beliau, tapak tersebut pernah disyorkan sebagai Medan Aneka Leboh Ampang pada tahun 2018 oleh Timbalan Menteri Wilayah ketika itu, Edmund Santra, dan DBKL telah membina semula medan selera berkenaan sebelum menyerahkan kunci kepada para peniaga.
“Peniaga membayar sewa hanya RM84 setahun kepada DBKL. Namun pada Januari 2025, gerai ini dirobohkan tanpa notis rasmi, ketika peniaga diminta berehat sementara atas alasan pembaikan sistem kumbahan,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau mendakwa, ketika peniaga tidak berada di lokasi, kontraktor telah masuk merobohkan gerai serta membawa lari barangan peniaga, sekali gus menimbulkan persoalan serius mengenai prosedur dan pengawasan DBKL.
Dato’ Dr Kalaivanar turut mempersoalkan bagaimana sebuah bangunan swasta boleh dibina di atas tanah yang sebelum ini merupakan tanah dan gerai DBKL, dengan keluasan yang dianggarkan sekitar 15 kaki, tanpa penjelasan awam yang telus.
Sehubungan itu, beliau mendesak YB Hannah Yeoh, selaku menteri baharu Wilayah Persekutuan, serta Datuk Bandar Kuala Lumpur yang baharu supaya segera menjalankan siasatan menyeluruh.
“Kami tidak menuduh berlakunya rasuah, tetapi biarlah rakyat menilai sendiri. Adakah wujud komplot atau konspirasi dalam isu ini?” soalnya.
SBKN memberi tempoh tujuh hari bekerja kepada pihak kementerian dan DBKL untuk memberikan penjelasan. Sekiranya tiada sebarang maklum balas diterima, mereka memberi amaran akan memfailkan saman terhadap DBKL.
Isu ini menimbulkan kebimbangan orang ramai terhadap integriti pihak berkuasa tempatan, khususnya apabila DBKL sepatutnya menjadi contoh teladan kepada 149 Pihak Berkuasa Tempatan di seluruh negara.
#DBKL #GeraiDiroboh #PeniagaTeraniaya #LebohAmpang #SiasatDBKL #HannahYeoh #HakPeniaga #KeadilanRakyat #SkandalTanah #BeritaAAC