
HULU SELANGOR, 28 Mei 2026 – Cadangan pembinaan hospital kerajaan baharu di Petaling Jaya disifatkan sebagai satu langkah positif, namun keperluan untuk mewujudkan sebuah hospital pakar kerajaan di Hulu Selangor juga perlu diberi perhatian serius.
Doktor Perubatan, Dr. Sathia Prakash Nadarajan berkata, beliau menyambut baik usaha Kerajaan Negeri Selangor dan Menteri Besar Selangor dalam mencari penyelesaian serta meluluskan tapak bagi pembinaan hospital kerajaan di Petaling Jaya.
Menurut beliau, Petaling Jaya sebagai antara pusat bandar utama di Selangor sememangnya mempunyai jumlah penduduk yang besar serta keperluan kesihatan yang semakin meningkat.
Namun katanya, perancangan pembangunan kemudahan kesihatan tidak seharusnya hanya tertumpu kepada kawasan bandar atau kawasan prime area semata-mata, sebaliknya perlu mengambil kira keperluan kawasan semi urban dan luar bandar seperti Hulu Selangor.
“Hospital Petaling Jaya penting. Tetapi Hospital Hulu Selangor juga sama penting,” katanya dalam satu kenyataan.
Dr. Sathia berkata, Petaling Jaya masih dikelilingi pelbagai kemudahan kesihatan termasuk Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), beberapa hospital swasta serta kemudahan kesihatan lain yang lebih mudah diakses penduduk bandar.
Sebaliknya, keadaan di Hulu Selangor amat berbeza kerana daerah itu meliputi hampir 20 peratus keluasan negeri Selangor dengan populasi sekitar 300,000 penduduk, selain mengalami pertumbuhan pesat akibat pembangunan perumahan, kawasan industri baharu dan pertambahan jumlah penduduk.
Katanya, sehingga kini Hulu Selangor masih belum mempunyai sebuah hospital pakar kerajaan yang besar untuk menampung keperluan rakyat setempat.
“Hulu Selangor bukan sekadar kawasan perumahan baharu, tetapi turut merangkumi banyak kawasan kampung, 16 Kampung Orang Asal, empat kawasan Felda, pekan-pekan kecil, kawasan pedalaman dan komuniti luar bandar yang memerlukan akses kesihatan lebih dekat dan menyeluruh,” katanya.
Beliau berkata, ramai penduduk Hulu Selangor ketika ini masih terpaksa bergantung kepada hospital di luar daerah seperti Hospital Selayang, Hospital Sungai Buloh dan Hospital Slim River di Perak.
Menurutnya, jarak perjalanan yang jauh, antara 40 hingga 60 kilometer bergantung kepada lokasi penduduk, memberi beban besar terutama ketika berlaku kecemasan seperti strok, serangan jantung, trauma, kemalangan jalan raya atau kehamilan berisiko tinggi.
“Dalam bidang kesihatan, kita memahami bahawa masa adalah nyawa. Setiap minit amat berharga ketika berlaku kecemasan,” katanya.
Dr. Sathia turut memberi amaran bahawa jika tiada hospital besar diwujudkan di Hulu Selangor, penduduk daerah itu akan terus mendapatkan rawatan di hospital-hospital utama di Lembah Klang, sekali gus menambah kesesakan dan tekanan kepada sistem kesihatan sedia ada.
Katanya, hospital bandar bukan sahaja perlu menampung penduduk kawasan mereka sendiri, tetapi turut menerima pesakit dari kawasan luar seperti Hulu Selangor.
Sehubungan itu, beliau berkata sudah tiba masanya keperluan sebuah hospital pakar kerajaan di Hulu Selangor dibincangkan dengan lebih serius demi memastikan pembangunan kesihatan yang lebih adil dan seimbang.
“Penduduk Hulu Selangor juga membayar cukai, menyumbang kepada pembangunan negeri dan berhak mendapat akses penjagaan kesihatan yang lebih dekat, cepat dan berkualiti.
“Pembangunan kesihatan yang adil bukan hanya melihat di mana penduduk paling ramai, tetapi juga melihat siapa yang paling jauh daripada akses rawatan ketika mereka benar-benar memerlukannya,” katanya.
#KesihatanRakyat #HuluSelangorPerluHospital #HospitalPJPentingHuluSelangorPunPenting #AksesKesihatanAdil