
KUALA LUMPUR, 28 Mei 2026 – Timbalan Presiden Majlis Senator Malaysia, Dato’ Dr Armand Azha Haji Abu Hanifah menegaskan sokongan penuh beliau terhadap misi Global Sumud Flotilla yang disifatkan sebagai sebahagian daripada perjuangan kemanusiaan penting untuk rakyat Gaza, Palestin.
Beliau berkata, isu berkaitan Gaza dan Palestin merupakan perjuangan yang sentiasa dekat di hatinya, apatah lagi selepas beliau sendiri pernah menjejakkan kaki ke bumi Gaza sebanyak tiga kali.
Menurutnya, pengalaman melihat sendiri penderitaan rakyat Palestin memberikan kekuatan dan semangat kepadanya untuk terus bersuara tanpa rasa kecewa atau putus asa.
“Saya konsisten dalam isu Gaza Palestin dan setiap perkara yang mempunyai kepentingan dalam perjuangan buat Gaza Palestin akan saya berikan sokongan 100 peratus,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mengulas perbezaan pandangan yang timbul di media sosial berhubung Global Sumud Flotilla, Armand Azha berpandangan ia berlaku kerana penjelasan dan penerangan yang kurang jelas kepada rakyat Malaysia.
Katanya, keadaan itu menyebabkan wujud pelbagai pertikaian dalam masyarakat, sedangkan misi tersebut membawa tujuan besar dalam perjuangan kemanusiaan di peringkat global.
Beliau berkata, sebelum menilai isu berkenaan, masyarakat perlu mengetepikan perbezaan politik, agama, bangsa dan rasa kebencian.
Jelasnya, sekiranya sesuatu isu dilihat melalui emosi dan kebencian, masyarakat akan hilang pertimbangan rasional sehingga memandang negatif terhadap misi yang sebenarnya penting buat Gaza dan Palestin.
Armand Azha menjelaskan, Global Sumud Flotilla dilihat penting kerana ia mewakili usaha kemanusiaan dan gerakan antarabangsa untuk mencabar sekatan terhadap Gaza, meningkatkan kesedaran dunia serta menunjukkan solidariti kepada rakyat Palestin.
Menurut beliau, misi flotilla berperanan memecahkan kesunyian antarabangsa dengan membawa perhatian dunia terhadap krisis kemanusiaan di Gaza, termasuk isu makanan, ubat-ubatan, elektrik dan penderitaan rakyat awam akibat konflik serta sekatan.
Selain itu, katanya, misi seumpama itu juga sering dikaitkan dengan usaha menghantar bantuan kemanusiaan seperti bekalan perubatan, makanan dan keperluan asas kepada penduduk Gaza.
Beliau berkata, penyertaan aktivis, doktor, ahli parlimen, wartawan dan pertubuhan kemanusiaan dari pelbagai negara membuktikan isu Palestin bukan hanya isu serantau, sebaliknya mendapat perhatian masyarakat antarabangsa.
Tambahnya, gerakan tersebut turut memberi tekanan diplomatik terhadap kerajaan, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu serta institusi antarabangsa lain supaya lebih tegas membela hak rakyat Palestin, mendesak gencatan senjata dan membuka laluan bantuan kemanusiaan.
“Bagi ramai penyokong, flotilla ini melambangkan penentangan aman terhadap pendudukan dan sekatan yang dikenakan ke atas Gaza,” katanya.
Dalam masa sama, beliau berkata perkataan “Sumud” yang berasal daripada bahasa Arab membawa maksud ketabahan atau kecekalan, sekali gus mencerminkan semangat rakyat Palestin dalam menghadapi pelbagai kesukaran.
Armand Azha turut menyentuh kedudukan Palestin di peringkat antarabangsa apabila sebahagian besar negara anggota PBB telah mengiktiraf Negara Palestin, manakala Palestin terus mengekalkan status sebagai negara pemerhati bukan anggota di Perhimpunan Agung PBB.
Katanya, penjelasan mengenai isu ini perlu diperluaskan kerana masih ramai rakyat Malaysia belum memahami sepenuhnya mengapa misi Global Sumud Flotilla penting dalam konteks perjuangan Palestin.
“Semoga penjelasan ringkas ini dapat memberikan pemahaman buat rakyat Malaysia yang sentiasa prihatin terhadap perjuangan saudara-saudara kita di bumi Gaza Palestin.
“Free Palestine,” katanya.
#FreePalestine #GlobalSumudFlotilla #PrayForGaza #SolidaritiPalestin #AACNews