
BANTING, 26 Mei 2026 – Sempena sambutan Hari Raya Aidiladha 2026, Tayyib Ranch bakal menganjurkan Karnival Qurban 2026 bertemakan “Nak Korban, Ingat Tayyib Ranch” di Tayyib Ranch Feedlot, Jalan Melati, Kampung Sungai Kelambu, Banting, Selangor.
Program korban berskala besar itu akan berlangsung pada 27 Mei 2026 dari jam 9.00 pagi hingga 12.00 malam, manakala pada 28 Mei 2026 pula bermula jam 6.00 pagi hingga 12.00 malam.
Sepanjang tempoh program, sebanyak 200 ekor lembu termasuk 20 ekor lembu sado dijangka dikorbankan sebagai sebahagian daripada ibadah korban, sambutan Aidiladha serta inisiatif kebajikan komuniti yang dilaksanakan oleh Tayyib Ranch.
Menurut Pengarah Urusan Kumpulan Tayyib Ranch Sdn Bhd, Dr Lui Sze Chiang, pelaksanaan korban pada tahun ini melibatkan penyertaan pelanggan, keluarga, sukarelawan dan orang ramai, dengan anggaran sehingga 16 hingga 18 tan daging korban akan diagihkan kepada penerima.
Beliau berkata, program itu bukan sekadar acara korban, sebaliknya menjadi platform untuk memperkukuh semangat kebersamaan, menyantuni komuniti dan membantu golongan yang memerlukan.
“Ramai yang masuk dalam program korban dan ramai juga yang akan menerima bantuan daging korban. Sejak beberapa tahun ini, kami memang mempunyai senarai penerima tanggungjawab sendiri dan Insya-Allah tahun ini senarai penerima akan bertambah,” katanya.
Lebih menarik, orang ramai turut dijemput hadir ke tapak karnival pada hari pertama dan kedua Aidiladha bagi menyaksikan sendiri proses korban, menikmati suasana perayaan serta membawa keluarga hadir ke program komuniti tersebut.
Tayyib Ranch turut menyediakan 1,000 pek daging korban setiap hari untuk diagihkan kepada pengunjung di tapak karnival bermula 12.00 tengah hari hingga 10.00 malam secara siapa cepat dia dapat.
Selain itu, sebanyak 5,000 pek daging korban amal akan diagihkan kepada masyarakat di beberapa kawasan termasuk Banting, Kuala Selangor, Hulu Langat, Rembau, Seremban, Klang, Kapar, Kuala Pilah, Kuala Lumpur serta kawasan lain yang dikenal pasti.
Difahamkan, agihan daging korban turut melibatkan wakil kampung, agensi, komuniti setempat dan sukarelawan bagi memastikan bantuan sampai kepada golongan memerlukan termasuk asnaf dan penduduk sekitar.
Dalam masa sama, karnival itu turut menyediakan suasana santai untuk pengunjung dengan jamuan raya secara percuma, termasuk hidangan berasaskan daging korban, selain aktiviti untuk keluarga dan komuniti.
“Orang awam tidak dikenakan bayaran. Masuk percuma, makan percuma dan untuk menerima daging korban juga percuma,” katanya.
Bagi menjayakan program berskala besar itu, Tayyib Ranch turut menggerakkan kira-kira 200 hingga 250 petugas melibatkan pelbagai pasukan termasuk pasukan sembelihan, pemotongan, pembungkusan, pentadbiran, dapur dan pengurusan logistik.
Wakil Tayyib Ranch berkata, Karnival Qurban 2026 merupakan kesinambungan usaha yang telah dilaksanakan sebelum ini dan pihaknya berharap inisiatif tersebut dapat diteruskan pada tahun-tahun akan datang.
Menurutnya, program tersebut juga membuka ruang kepada mana-mana pihak, agensi atau organisasi yang berminat untuk bekerjasama dalam menjayakan program kebajikan dan korban berskala komuniti pada masa depan.
Tayyib Ranch turut merakamkan penghargaan kepada semua pelanggan, penyokong, petugas, sukarelawan dan pihak yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung dalam memastikan kelancaran program korban tahun ini.
“Semoga Allah mempermudahkan segala urusan korban dan menerima ibadah korban daripada kita semua, Insya-Allah,” katanya.
#BeritaAAC #KarnivalQurban2026 #TayyibRanch #Aidiladha2026 #NakKorbanIngatTayyibRanch