KUALA LUMPUR – UMNO tidak akan melayan sebarang bentuk layanan istimewa terhadap mana-mana bekas ahli yang mahu kembali ke dalam parti, termasuk bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin (KJ), tegas Ketua Penerangan UMNO Cawangan Presint Jasa, Dr Azam Rauzan.
Menurut beliau, mana-mana individu yang sebelum ini dipecat atau meninggalkan parti perlu mengikut saluran dan prosedur rasmi, bukannya mengharapkan jemputan atau campur tangan individu tertentu.
“Surat permohonan tak masuk, surat rayuan pun tak masuk, borang pun tak isi. Jadi, no special treatment. Ini saya ulang, tiada layanan khas kepada sesiapa yang pernah dipecat atau digelar pengkhianat,” katanya.
Mengulas kebimbangan segelintir ahli UMNO terhadap kemungkinan kemasukan semula KJ, Dr Azam menegaskan bahawa isu ‘merajuk’ sebenarnya lebih berkait dengan kepentingan jawatan dan kerusi, bukannya soal perpaduan parti.
“Nak merajuk, tak merajuk, tapi bila nak kerusi, tetap datang juga. Bila nak kerusi, nak minta juga daripada Pengerusi Barisan Nasional,” katanya.
Beliau turut menyifatkan sikap segelintir pihak sebagai didorong oleh ego dan keinginan untuk layanan istimewa, sedangkan UMNO kini memberi keutamaan kepada keikhlasan dan kesetiaan sebenar.
Dalam masa sama, Dr Azam menyambut baik pelantikan dua bekas Menteri Besar Johor untuk memainkan peranan menyatupadukan UMNO, khususnya pelantikan Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin sebagai Pengerusi Jawatankuasa Penyelaras Kemasukan Semua Parti.
“Gunakan saluran yang betul dan cara yang betul. Kita nak yang genuine. Jangan sampai ‘tikus membaiki labu’, masuk nak baiki, akhirnya makin rosak,” tegasnya.
Beliau turut menegaskan bahawa hala tuju UMNO tidak ditentukan oleh pertemuan tertutup atau gambar tular, sebaliknya melalui keputusan Presiden UMNO, Majlis Kerja Tertinggi (MKT) dan biro politik parti.
“Yang penting adalah Presiden UMNO, yang penting MKT, bukan siapa duduk dengan siapa, berbisik dengan siapa,” katanya.
Mengakhiri kenyataan, Dr Azam menyeru semua pemimpin parti agar kembali kepada asas perjuangan UMNO dengan bersikap jujur, berani bercakap benar dan melaksanakan amanah yang diberikan tanpa lakonan atau pencitraan kosong.
#BeritaAAC #UMNO #KhairyJamaluddin #NoSpecialTreatment #PolitikMalaysia #IsuUMNO #PAU2025 #KJ #PolitikSemasa #MalaysiaMadani