KUALA LUMPUR – Ucapan dasar dan penggulungan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi disifatkan sebagai jelas dan meyakinkan, sekali gus menamatkan kebimbangan akar umbi berhubung hala tuju parti, khususnya melibatkan kerjasama UMNO dalam Kerajaan Perpaduan bersama DAP.
Ketua UMNO Bahagian Pandan, Dato’ Jamaludin Ropa berkata, penjelasan yang disampaikan oleh Presiden UMNO itu telah menjawab segala persoalan yang sekian lama dibangkitkan oleh ahli dan penyokong parti di peringkat akar umbi.
“Alhamdulillah, ucapan dasar itu satu ucapan yang terbaik dan agak baik. Ia jelas menunjukkan hala tuju UMNO yang selama ini dipertikaikan oleh akar umbi,” katanya ketika mengulas ucapan dasar Presiden UMNO.
Menurut beliau, kebimbangan akar umbi terhadap kehadiran DAP dalam kerajaan hari ini juga telah diperjelaskan secara terang dan jelas melalui ucapan dasar serta sesi penggulungan Presiden UMNO.
“Selepas penjelasan itu, akar umbi tidak perlu takut dan tidak perlu risau lagi dengan kehadiran DAP dalam kerajaan. Segala perancangan yang direncanakan oleh Datuk Seri Zahid adalah berkaitan gabungan seluruh parti yang berteraskan Islam,” ujarnya.
Tambah Jamaludin, perancangan tersebut dilihat sebagai satu langkah penting dan bersejarah, malah disifatkan sebagai julung kali dapat direalisasikan dalam landskap politik negara.
“Jika berjaya, ini merupakan satu perkara yang julung-julung kali dapat kita lakukan. InsyaAllah,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa hala tuju UMNO kini semakin jelas, khususnya dalam usaha memperjuangkan kepentingan bangsa Melayu, Islam dan kelangsungan parti.
“Soal penggulungan hari ini telah menjelaskan hala tuju UMNO dan apa yang direncanakan oleh Presiden untuk kepentingan bangsa Melayu, bangsa Islam dan parti,” katanya.
Jamaludin yakin kerjasama antara parti-parti yang berteraskan Islam dan Melayu mampu menyatukan kembali orang Melayu.
“Dengan kerjasama ini, insyaAllah orang Melayu akan bersatu, kembali bertaut dan kembali kuat,” katanya.
#BeritaAAC #UMNOPandan #UcapanDasarUMNO!#ZahidHamidi #PolitikMalaysia #MelayuBersatu #AkarUmbiUMNO #KerajaanPerpaduan #IsuDAP #HalaTujuUMNO