KUALA LUMPUR – Aktivis sosial, Dato’ Dr Kalaivanar mendakwa isu kerosakan berulang sistem Aerotren bukan sahaja mencerminkan kegagalan pengurusan, malah membuktikan tahap profesionalisme menteri-menteri di bawah Kerajaan Madani, khususnya daripada DAP, berada pada tahap yang membimbangkan.
Menurut beliau, kerosakan Aerotren yang berulang kali berlaku telah mengakibatkan kerugian besar melibatkan dana awam, dengan perbelanjaan mencecah hampir setengah juta ringgit, wang yang disifatkannya sebagai “duit rakyat”.
“Ini adalah sejarah paling memalukan dalam Malaysia. Menteri paling angkuh yang pernah kita lihat adalah di bawah kerajaan Madani, khususnya daripada DAP,” katanya ketika mengulas pertanyaan wartawan berhubung isu Aerotren yang sering mengalami kerosakan.
Dato’ Dr Kalaivanar turut mendakwa beberapa memorandum yang dihantar kepada Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan dan Kementerian Pengangkutan langsung tidak diberi perhatian, termasuk memorandum berkaitan isu lori dan pengangkutan awam.
Beliau secara terbuka menamakan Nga Kor Ming dan Anthony Loke sebagai menteri yang gagal menjalankan tanggungjawab dengan berkesan, sambil mempersoalkan sikap berdiam diri kedua-dua pemimpin tersebut terhadap isu yang menjejaskan kepentingan rakyat.
“Kalau dulu DAP ada maruah. Isu kecil pun pemimpin mereka sanggup letak jawatan. Hari ini, walaupun ratusan ribu duit rakyat hangus, mereka masih berpegang pada jawatan,” katanya lagi.
Tambah beliau, kegagalan menjawab memorandum dan isu berlarutan ini mencerminkan keangkuhan serta sikap tidak bertanggungjawab menteri-menteri terlibat, sekali gus menimbulkan persoalan besar terhadap makna sebenar konsep ‘Madani’ yang sering dilaungkan kerajaan.
Dato’ Dr Kalaivanar menegaskan, jalan paling mudah dan bermaruah adalah dengan meletakkan jawatan bagi memberi peluang kepada individu lain yang lebih layak dan profesional untuk memikul amanah rakyat.
#BeritaAAC #IsuAerotren #DuitRakyat #KerajaanMadani #DAP #LetakJawatan #SuaraRakyat #Ketirisan #MalaysiaTerkini #BeritaPanas