KUALA LUMPUR — Cadangan supaya pilihan raya Datuk Bandar diperkenalkan disifatkan sebagai strategi politik licik DAP yang didakwa meniru pendekatan Parti Tindakan Rakyat (PAP) Singapura, menurut Ketua Penerangan UMNO Cawangan Presint Jasa, Dr Azam Rauzan.
Beliau berkata demikian ketika mengulas pertanyaan wartawan berhubung usaha DAP yang sekali lagi mencadangkan pilihan raya Datuk Bandar, selepas sebelum ini mencetuskan perdebatan mengenai pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT).
Menurut Dr Azam, pendekatan yang digunakan oleh pemimpin DAP, termasuk penggunaan istilah dan simbol keagamaan, dilihat sebagai satu bentuk “topeng” politik bagi meraih sokongan masyarakat Melayu dan Islam.
“Kalau kita lihat, cara yang digunakan oleh DAP ini sama seperti PAP di Singapura. Pakai songkok, bersalaman, guna perkataan ‘Assalamualaikum’ dan ‘Alhamdulillah’, tetapi bagi saya itu hanyalah topeng,” katanya.
Beliau mengumpamakan strategi tersebut seperti kisah “unta masuk ke dalam khemah”, di mana pada awalnya ia hanya meminta sedikit ruang, namun akhirnya menguasai keseluruhan kawasan.
“DAP cuba masuk perlahan-lahan. Mula dengan kajian, kemudian beri alasan kononnya ia tidak salah. Lama-lama tuan rumah pula yang terpaksa keluar,” jelasnya.
Dr Azam turut membangkitkan kebimbangan bahawa kajian-kajian yang dicadangkan oleh DAP boleh membuka ruang kepada perubahan sistem negara, termasuk cadangan menjadikan Malaysia sebagai sebuah republik.
Namun beliau menegaskan bahawa selagi UMNO kekal berperanan dalam Kerajaan Madani, kepentingan orang Melayu dan kaum lain akan terus terpelihara.
“Selagi UMNO ada, jangan risau orang Melayu, jangan risau bangsa lain. UMNO adalah penentu, the kingmaker,” tegasnya.
Mengulas cadangan pilihan raya Datuk Bandar, Dr Azam berkata perbandingan dengan bandar-bandar besar seperti New York adalah tidak relevan memandangkan latar sosial dan pemikiran rakyat Kuala Lumpur adalah berbeza.
Beliau dalam masa sama mengingatkan agar isu tersebut tidak dijadikan sentimen perkauman, sebaliknya dibincangkan secara rasional demi kestabilan negara.
#BeritaAAC #PilihanRayaDatukBandar #DAP #UMNO #PolitikMalaysia #KerajaanMadani #IsuSemasa #AgendaTersembunyi #KualaLumpur #AACViral