Boleh didakwa Seksyen 506 Kanun Keseksaan
KUALA LUMPUR, 7 Februari 2026 — Seorang peguam mendakwa telah diugut untuk dipukul oleh anggota polis ketika menjalankan tugas mengiringi individu yang ditahan dalam satu himpunan aman di hadapan pusat beli-belah Sogo, di sini, hari ini.
Peguam, Zamri Mohd Isa berkata, insiden itu berlaku ketika beliau mempertikaikan tindakan polis yang menahan seorang wanita tanpa penjelasan jelas mengenai kesalahan dilakukan.
Menurut beliau, ketika berdepan dua anggota polis wanita yang melakukan penahanan, seorang anggota polis lelaki tiba-tiba datang dan mengeluarkan ugutan berbentuk keganasan terhadapnya.
“Anggota polis itu berkata kepada saya, ‘kau diam, aku tumbuk muka kau’. Sedangkan saya jelas memakai badge kuning peguam yang mudah dikenali,” katanya.
Zamri berkata, tindakan tersebut amat mengecewakan dan disifatkan sebagai tidak profesional serta menyalahi undang-undang, lebih-lebih lagi melibatkan seorang pegawai yang sepatutnya memahami peruntukan undang-undang.
Susulan kejadian itu, beliau telah membuat laporan polis di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan berhubung ugutan jenayah, dan memaklumkan terdapat saksi mata yang turut memberikan keterangan kepada pihak berkuasa.
“Kalau orang awam cakap nak tumbuk seseorang, polis akan terus tangkap dan dakwa. Ini pula anggota polis sendiri yang mengugut seorang peguam,” katanya.
Beliau turut melahirkan rasa kecewa terhadap pendekatan pihak berkuasa yang disifatkan terlalu beremosi, sedangkan himpunan yang berlangsung adalah aman, tanpa senjata dan tanpa ancaman keselamatan.
“Kami datang untuk menegakkan hukum dan undang-undang, tetapi dilayan seolah-olah penjenayah. Ini termasuk saya sendiri yang diintimidasi,” katanya lagi.
Dalam masa sama, Zamri memaklumkan barisan peguam masih bertugas membantu individu yang ditahan dan bersedia hadir ke mahkamah bagi membantah permohonan reman sekiranya diperlukan.
Beliau berharap pihak polis akan membuka kertas siasatan secara adil dan profesional tanpa mengira pangkat atau jawatan individu terlibat.
#BeritaAAC #HimpunanAman #Peguam #Polis #Intimidasi