KUALA LUMPUR, 7 Februari 2026 – Peguam, Zambri Mohd Isa, meluahkan rasa terkilan dan perasaan tidak adil yang dirasai oleh sebahagian masyarakat Melayu terhadap tindakan penguatkuasaan undang-undang, khususnya apabila melibatkan isu perobohan atau pencerobohan tanah.
Mengulas soalan wartawan yang mempersoalkan mengapa masyarakat Melayu sering dilihat menjadi sasaran, Zambri menegaskan beliau tidak membuat sebarang tuduhan atau andaian terhadap mana-mana pihak, namun mengakui perasaan tersebut wujud dalam kalangan orang Melayu.
“Saya tak boleh buat satu assumption, tapi saya rasa negara ini negara yang ada undang-undang. Saya harap pihak berkuasa ambil tindakan tanpa mengira warna kulit,” katanya.
Menurut beliau, wujud perasaan seolah-olah masyarakat Melayu dilayan tidak sama rata berbanding kaum lain, sehingga ada yang merasakan diri mereka seperti ‘pendatang’ di tanah air sendiri.
“Kita orang Melayu rasa macam second class punya bangsa kat sini. Itu perasaan yang saya rasa dan saya percaya ramai yang rasa perkara sama,” ujarnya.
Zambri menegaskan bahawa tindakan penguatkuasaan seharusnya dilakukan secara adil dan konsisten tanpa mengira latar belakang kaum atau agama, termasuk melibatkan rumah ibadat.
“Kalau tanah masjid salah, roboh. Surau salah, roboh. Kuil salah, roboh. Gereja atau gurdwara pun sama. Kalau salah, kita terima,” jelasnya.
Beliau turut mengingatkan bahawa masyarakat Melayu tidak mempertahankan kesalahan, sebaliknya bersedia menyelesaikan isu secara beradab dan mengikut undang-undang, seperti kes sebuah masjid di Perak yang akhirnya menyelesaikan isu pencerobohan dengan pampasan.
Namun begitu, beliau melahirkan kebimbangan apabila wujud tindakan yang dianggap berlebihan, termasuk dakwaan beliau diperlakukan secara kasar.
“Kalau tidak ada perasaan ini, takkanlah saya sampai kena nak kena tumbuk. Saya rasa kalau peguam lain, kaum lain, mungkin tak jadi begitu,” katanya.
Zambri berharap pihak penegak undang-undang dapat bertindak secara adil dan profesional demi mengekalkan kepercayaan rakyat terhadap sistem keadilan negara.
#BeritaAAC #IsuKeadilan #UndangUndangMalaysia #KeadilanUntukSemua #SuaraRakyat #PenguatkuasaanAdil #IsuSemasa #HakRakyat #MalaysiaNegaraUndangUndang #AACTrending