KUALA LUMPUR, 8 Februari 2026 – Peguam dan aktivis hak asasi, Rafique Rashid Ali, menegaskan bahawa hak untuk berhimpun secara aman adalah hak asas rakyat yang dijamin di bawah Perlembagaan Persekutuan, dan tidak seharusnya dicabul oleh mana-mana pihak.
Menurut beliau, perhimpunan yang dijadualkan berlangsung pada 7 Februari lalu langsung tidak sempat bermula apabila ia digagalkan lebih awal, termasuk tindakan penahanan terhadap individu yang baru hadir ke lokasi.
“Belum sempat berhimpun, sudah ditahan. Ini jelas bercanggah dengan semangat undang-undang,” tegas Rafique.
Rafique merujuk Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan yang menjamin kebebasan bersuara dan berhimpun, serta Akta Perhimpunan Aman 2012, yang menurutnya dengan jelas meletakkan peranan pihak berkuasa sebagai pemudah cara, bukannya penghalang kepada perhimpunan aman.
Beliau menegaskan bahawa selagi sesuatu perhimpunan berlangsung tanpa unsur keganasan dan mematuhi peruntukan undang-undang, ia tidak sepatutnya disekat secara pra-matang.
Dalam pada itu, Rafique turut menyeru rakyat agar memahami hak sendiri dan tidak terus hidup dalam ketakutan apabila ingin menyuarakan pandangan secara aman.
“Hak ini bukan hadiah daripada sesiapa. Ia hak yang dijamin Perlembagaan,” katanya.
Beliau menambah, kesedaran undang-undang dalam kalangan rakyat amat penting bagi memastikan ruang demokrasi tidak terus disempitkan melalui tindakan yang disifatkan berlebihan.
#BeritaAAC #HakBerhimpun #Perkara10 #HimpunanAman #SuaraRakyat #Demokrasi #UndangUndang #KebebasanBersuara #RakyatBersuara #Malaysia