KUALA LUMPUR – Cadangan penubuhan Sekretariat Digital UMNO yang diumumkan oleh Presiden UMNO ketika Perhimpunan Agung UMNO (PAU) disambut baik oleh Ketua Penerangan Wanita UMNO Malaysia, Dato’ Rosni Zahari, yang melihat langkah itu sebagai keperluan mendesak dalam landskap politik semasa.
Menurut beliau, pendekatan kempen politik secara konvensional tidak lagi relevan sepenuhnya, memandangkan peranan media digital kini menjadi medan utama membentuk persepsi dan sokongan rakyat.
“Saya bersetuju dengan keputusan Yang Amat Berhormat Datuk Seri Presiden kerana beliau sedar media digital memainkan peranan yang sangat penting hari ini. Kita tak boleh lagi berkempen secara konvensional,” katanya ketika ditemui media.
Bagaimanapun, Dato’ Rosni menegaskan bahawa pemilihan individu yang bakal menerajui Sekretariat Digital UMNO perlu dibuat secara teliti, bukan sekadar lantikan simbolik atau retorik semata-mata.
Beliau menyarankan agar individu yang dipilih mempunyai pengaruh sebenar di media sosial, termasuk jumlah pengikut yang signifikan serta keupayaan untuk berhadapan tekanan dan serangan politik.
“Kalau nak pilih ketua sekretariat, pilihlah orang yang betul. Cari personality yang ada pengaruh, yang tahan diasak, tahan diuji, vocal dan mampu menyampaikan mesej kepada rakyat,” tegasnya.
Mengulas cadangan nama, beliau menyifatkan Wan Mahusin antara individu yang sesuai memandangkan memiliki sekitar 170,000 pengikut serta aktif menangani isu masyarakat dan menepis tohmahan pembangkang di platform digital.
“Wan Mahusin itu pun sesuai jugalah. Atau sesiapa sahaja yang ada followers ramai dan sentiasa address isu rakyat serta menepis fitnah-fitnah pembangkang,” katanya.
Dalam masa sama, Dato’ Rosni mengingatkan UMNO agar tidak tersilap memilih pemimpin digital yang tidak mempunyai pengaruh sebenar, termasuk akaun media sosial yang tidak aktif atau diletakkan secara peribadi (private).
“Janganlah ambil orang yang follower tak sampai seribu, sudah lah akaun media sosial private. Kalau silap pilih, matlamat asal presiden tak akan tercapai,” ujarnya.
Beliau menegaskan bahawa Sekretariat Digital UMNO perlu digerakkan secara serius dan berfungsi sebagai jentera tempur sebenar, bukan sekadar penubuhan di atas kertas.
“Kalau betul-betul nak tubuh sekretariat digital, jangan cakap retorik je. Jangan cakap figure je. Hakikatnya akaun media sosial private, that one tak boleh,” katanya lagi.
#SekretariatDigitalUMNO #PAU2025 #UMNODigital #PolitikDigital #MedanMaya #UMNOBangkit #NaratifRakyat #LawanFitnah #BeritaAAC #PolitikSemasa