default
KUALA LUMPUR, 9 Februari 2026 – Aktivis Gerakan Anti Rumah Anutan Haram (GARAH), Zamri Vinoth, meluahkan rasa sedih dan kecewa terhadap tindakan penahanan beberapa individu ketika usaha menegakkan kedaulatan undang-undang, yang menurutnya bercanggah dengan semangat reformasi yang sering dilaungkan oleh kepimpinan negara.
Dalam kenyataannya, Zamri merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang hadir dan sanggup berkorban demi perjuangan rakyat, termasuk mereka yang ditahan dan hanya dibebaskan pada lewat pagi sekitar jam 2.30 hingga 3.30 pagi.
“Ini adalah perjuangan rakyat, perjuangan bersama kita. Saya dengar ada yang ditahan, diheret dan hanya dilepaskan awal pagi. Saya ucapkan terima kasih atas pengorbanan tuan-tuan,” katanya.
Zamri menegaskan bahawa perjuangan yang dibawa bukan bertujuan mencetuskan kekacauan, sebaliknya demi menegakkan undang-undang dan kedaulatan negara. Namun, beliau mengakui rasa sedih apabila terdapat pihak yang dilayan secara tidak wajar ketika berjuang atas nama rakyat.
Walau bagaimanapun, beliau memaklumkan bahawa dirinya menerima layanan yang baik sepanjang berada dalam tahanan.
“Alhamdulillah, saya tidak dilayan begitu. Layanan yang diberikan kepada saya cukup elok dan baik,” ujarnya.
Mengulas tindakan seterusnya, Zamri berkata pihaknya akan mengadakan perbincangan dengan peguam serta rakan-rakan dalam Gerakan Anti Rumah Anutan Haram sebelum mengambil langkah lanjut.
“Dalam masa terdekat, insya-Allah kami akan adakan satu sidang media dan akan umumkan tindakan-tindakan susulan,” katanya.
Dalam nada tegas, Zamri turut mempersoalkan realiti reformasi yang dilaungkan selama ini, sambil menyifatkan penahanan tersebut sebagai satu gambaran sebenar keadaan semasa.
“Tangkapan ini membuktikan reformasi. Saya tidak sangka dalam kepimpinan yang dipelopori ‘bapa reformasi negara’, perkara seperti ini masih berlaku,” katanya.
Beliau berharap kepimpinan negara dapat memperbaiki kelemahan sedia ada dan tidak lagi menghalang perhimpunan aman pada masa akan datang.
“Kami bukan nak cari pasal. Kami hanya mahu sampaikan hasrat rakyat, tanpa menyentuh mana-mana kaum atau agama,” tegasnya.
Zamri menutup ucapannya dengan menyeru rakyat agar terus istiqamah dalam perjuangan.
“Teruskan berjuang. GARAH on!”
#BeritaAAC #ZamriVinoth #GARAH #ReformasiDipertikai #HimpunanAman #SuaraRakyat #KedaulatanUndangUndang #AktivisRakyat #Demokrasi #TeruskanBerjuang