KUALA LUMPUR – Tindakan pihak berkuasa menahan peserta dan penganjur himpunan aman berkaitan isu pembinaan kuil tanpa kebenaran sekali lagi mencetuskan persoalan besar mengenai prinsip keadilan dan amalan demokrasi di negara ini.
Aktivis, Rahimuddin Mat Harun, berkata beliau bersama beberapa penyokong hadir di lokasi bagi menyambut pembebasan dua aktivis, Ustaz Zamri Vinoth dan Tamim, yang disifatkan sebagai “hero rakyat” kerana lantang menyuarakan bantahan terhadap pembinaan kuil-kuil yang didakwa tidak mendapat keizinan pemilik tanah.
Menurut beliau, kerajaan hari ini dilihat takut terhadap suara rakyat yang menyatakan ketidakpuasan hati secara aman, khususnya dalam isu sensitif melibatkan pembinaan rumah ibadat tanpa kelulusan sah.
“Peserta-peserta yang menyuarakan isu kuil ini dilayan dengan sangat teruk, berbeza dengan layanan yang diberikan kepada penganjur dan peserta perhimpunan LGBT,” katanya.
Rahimuddin membandingkan pendekatan pihak berkuasa dalam memantau perhimpunan LGBT yang disifatkan teratur dan dilindungi sepenuhnya oleh polis, termasuk kawalan lalu lintas dan keselamatan, berbanding tindakan keras yang diambil terhadap peserta himpunan isu kuil.
Beliau menegaskan bahawa kerajaan tidak seharusnya mengamalkan sikap pilih kasih, sebaliknya perlu berlaku adil kepada semua pihak yang ingin mengadakan perhimpunan aman, memandangkan hak tersebut dijamin di bawah Perlembagaan Persekutuan.
Dalam pada itu, Rahimuddin turut mempersoalkan tindakan penahanan yang dilakukan walaupun menurut pihak polis sendiri, kebenaran diberikan untuk berhimpun selama setengah jam sekiranya tiada kekecohan berlaku.
“Belum sempat perhimpunan bermula, ada penganjur yang ditangkap sebaik sahaja tiba di lokasi. Saya melihat sendiri kejadian ini,” katanya.
Beliau juga menyifatkan alasan keselamatan berhubung kehadiran Perdana Menteri India, Narendra Modi, sebagai tidak konsisten dengan insiden-insiden lampau yang melibatkan kehadiran pemimpin dunia lain, termasuk peristiwa rusuhan dan pembakaran kenderaan polis di sekitar Masjid Kampung Baru suatu ketika dahulu.
Tambahnya, peserta yang hadir di sekitar SOGO merupakan individu yang patuh arahan dan tidak berniat mencetuskan kekacauan, justeru tindakan menggari dan menahan mereka ke lokap disifatkan sebagai satu tragedi kepada demokrasi negara.
Rahimuddin turut meluahkan simpati terhadap individu yang ditahan tanpa sebab munasabah, termasuk sepasang suami isteri yang dikatakan hanya mahu berjalan di sekitar pusat beli-belah tersebut tetapi turut dibawa ke IPD.
#BeritaAAC #HimpunanAman #DemokrasiMalaysia #PilihKasih #IsuKuil #HakRakyat #ZamriVinoth #Tamim #SuaraRakyat #KeadilanUntukSemua