
KUALA LUMPUR, 10 Februari 2026 – Gabungan Ikhlas Malaysia menggesa Ketua Polis Negara (IGP) dan Peguam Negara supaya membuka semula kertas siasatan melibatkan satu kes penipuan besar yang berlaku di Bandar Kuching, Sarawak, yang didakwa menyebabkan seorang pemaju tempatan mengalami kerugian hampir RM8 juta sehingga diisytiharkan muflis.
Sekretariat Gabungan Ikhlas Malaysia, Ridzuan Ikhlas, berkata kes tersebut telah berlarutan sejak tahun 2010 dan sebelum ini diklasifikasikan sebagai No Further Action (NFA) walaupun terdapat bukti kukuh termasuk laporan forensik dan kimia dari Bukit Aman serta Sabah.
Menurut beliau, mangsa, Encik Augustine Ling Chee Hua, telah membuat hampir 30 laporan polis, selain aduan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Sarawak, namun tiada tindakan susulan diambil.
“Kes ini melibatkan penipuan berskala besar. Mangsa bukan sahaja rugi jutaan ringgit, malah jatuh muflis dan syarikatnya terpaksa ditutup. Ini bukan isu kecil,” katanya dalam satu sidang media.
Ridzuan turut merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim (PMX) yang telah memberi maklum balas terhadap surat yang dihantar oleh mangsa, dan mengarahkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengambil tindakan susulan.
“Apabila PMX sendiri menunjukkan keprihatinan dan mengarahkan tindakan lanjut, maka IGP dan Peguam Negara perlu memandang serius perkara ini serta membuka semula kertas siasatan,” tegasnya.
Encik Augustine pula mendakwa beliau menjadi mangsa konspirasi melibatkan peguam dan pihak berkepentingan, termasuk pengubahan dokumen perjanjian yang digunakan di mahkamah sehingga membawa kepada perintah muflis terhadap dirinya.
“Dokumen sudah diubah suai, erase dan taip semula. Bukti forensik sudah ada. Ini jenayah besar, tapi kes ditutup begitu sahaja,” katanya dengan nada kecewa.
Beliau turut mendakwa terdapat unsur bersubahat dan perlindungan terhadap penjenayah terancang, termasuk kegagalan SPRM untuk mengambil tindakan walaupun kes tersebut dikenal pasti sebagai kes forgery oleh pegawai penyiasat.
Gabungan Ikhlas Malaysia memberikan tempoh sekitar 14 hari kepada pihak berkuasa untuk memberi maklum balas rasmi terhadap tindakan lanjut yang akan diambil.
“Ini bukan soal menghukum semata-mata, tetapi mencari kebenaran dan mengembalikan keadilan kepada mangsa. Rakyat tidak sepatutnya dizalimi oleh sistem,” kata Ridzuan.
#KeadilanUntukRakyat #KesPenipuan #BukaSemulaSiasatan #PMXPrihatin #IGPBertindak #PeguamNegara #JenayahTerancang #Sarawak #LawanPenipuan #AACMedia