KUALA LUMPUR – Prestasi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim (PMX) dilihat berada di landasan yang betul susulan peningkatan keyakinan pasaran dan pengukuhan nilai ringgit, kata Ketua Penerangan UMNO Cawangan Presint Jasa, Dr Azam Rauzan.
Mengulas soalan wartawan berhubung persepsi rakyat yang menganggap kenyataan PMX sekadar “lawak” serta dakwaan beliau lebih menyerupai pembangkang di Parlimen, Dr Azam menegaskan bahawa realiti di lapangan menunjukkan perkembangan positif, khususnya dari sudut ekonomi dan kestabilan politik.
Menurut beliau, walaupun Pilihan Raya Umum (PRU) dijangka berlangsung mengikut tempoh yang ditetapkan, situasi global yang tidak menentu termasuk konflik antarabangsa dan tekanan ekonomi dunia menjadikan sebarang keputusan politik perlu dibuat dengan berhati-hati.
“Walaupun PMX sering dipertikai, kita nampak sendiri ekonomi negara semakin bertambah baik. Nilai ringgit menunjukkan peningkatan berbanding beberapa negara ASEAN dan juga di peringkat global,” katanya.
Dr Azam turut menjelaskan bahawa pengukuhan ringgit bukan semata-mata disebabkan kelemahan dolar Amerika Syarikat, sebaliknya berpunca daripada kemasukan semula dana asing yang yakin dengan ketegasan kerajaan Madani dalam membanteras rasuah.
“Pasaran yakin kerana hampir setiap minggu kita lihat siasatan terbuka dilakukan oleh SPRM, termasuk melibatkan tokoh-tokoh besar dan peringkat tertinggi. Ini memberi mesej jelas bahawa PMX serius dalam isu integriti dan pencegahan rasuah,” jelasnya.
Tambah beliau, langkah tegas kerajaan itu telah meningkatkan keyakinan pelabur terhadap pasaran mata wang negara, sekali gus menyumbang kepada pemulihan ekonomi.
Dalam masa sama, Dr Azam berpandangan iklim politik negara kini semakin stabil dan aman berbanding sebelum ini, walaupun terdapat rintihan di peringkat akar umbi.
Beliau turut menyentuh keadaan pembangkang yang disifatkan sedang berdepan perpecahan dalaman, sekali gus membuka ruang strategik kepada kerajaan untuk mempertimbangkan pembubaran Parlimen.
“Dengan situasi pembangkang yang heruk-peruk, serta PRN Melaka dan Johor yang bakal berlangsung, ini boleh menjadi ‘wow factor’ kepada PMX sekiranya Parlimen dibubarkan,” katanya.
Mengakhiri kenyataan, Dr Azam menegaskan bahawa secara keseluruhan PMX berada di landasan yang betul buat masa ini, manakala sebarang isu lain wajar ditentukan oleh proses undang-undang dan masa.
#BeritaAAC #PMX #AnwarIbrahim #KerajaanMadani #RinggitMengukuh #EkonomiMalaysia #PolitikSemasa #PRUMengejut #SPRM #IsuSemasa