
KUALA LUMPUR – Nasib seorang pemegang polisi kad perubatan AIA, Satish a/l Thiyagarajan, 28, kini menjadi perhatian apabila tuntutan perubatan beliau didakwa diperlengah dan tidak diselesaikan, walaupun mangsa masih menjalani rawatan susulan akibat kemalangan serius yang berlaku hampir lapan bulan lalu.
Mangsa mengalami kemalangan jalan raya di sekitar Port Klang dan kini dilaporkan mengalami kecederaan teruk sehingga fungsi dari leher ke bawah tidak berfungsi, menyebabkan beliau memerlukan rawatan perubatan berpanjangan di hospital swasta dan hospital kerajaan.

Menurut Dato’ Dr Kalaivanar, Aktivis Sosial dan wakil Sekretariat Bahana Kesetiaan Negara, keluarga mangsa kini berada dalam keadaan terdesak apabila terpaksa menanggung sendiri kos rawatan yang mencecah puluhan ribu ringgit, walaupun mangsa merupakan pemegang polisi kad perubatan yang sah.
“Bila senang, ejen datang rumah, pujuk, jual polisi. Bila dah berlaku kemalangan dan mangsa terbaring tidak berdaya, keluarga pula ditendang ke sana sini,” tegas beliau.
Difahamkan, bapa mangsa, Tiaga Rajan, telah membayar hampir RM95,000 bagi rawatan di PPUM, selain bil semasa di sebuah hospital lain yang kini mencecah sekitar RM48,000, namun masih belum menerima sebarang bayaran atau penyelesaian tuntutan daripada pihak insurans.
“Apa guna pegang kad perubatan kalau bila berlaku musibah, keluarga mangsa dibiarkan merana, hutang sana sini semata-mata untuk selamatkan nyawa anak,” kata Dato’ Dr Kalaivanar lagi.
Beliau turut mendakwa terdapat kelemahan serius dalam pengendalian kes apabila pihak keluarga dipingpong antara hospital dan syarikat insurans, tanpa penyelesaian konkrit sehingga hari ini.
Dalam perkembangan sama, Sekretariat Bahana Kesetiaan Negara memberi tempoh tiga hari kepada pihak berkaitan untuk tampil membantu dan menyelesaikan isu pembiayaan rawatan mangsa.
“Jika tiada tindakan, kami tidak teragak-agak membawa mangsa dan keluarga ke Parlimen. Suara rakyat adalah suara keramat dan tidak boleh dipandang remeh,” katanya.
Kes ini sekali lagi mencetuskan persoalan besar mengenai kebertanggungjawaban syarikat insurans terhadap pemegang polisi, khususnya apabila melibatkan kes kecemasan dan nyawa manusia.
#SuaraRakyat #KeadilanUntukMangsa #KadPerubatan #IsuInsurans #HakPesakit #BahanaKesetiaanNegara #InsuransDipertikai #RakyatTeraniaya #AACBerita #ViralkanKeadilan